Thursday, April 12, 2012

KEADILAN cadang guna pendapatan Petronas langsaikan pinjaman PTPTN

                   Dakwaan Barisan Nasional (BN) kononnya pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyebabkan negara muflis ternyata tidak berasas apabila pemimpin Pakatan Rakyat telah menemui kaedah terbaik bagi melupuskannya.
                   Antara kaedah yang dikenal pasti untuk melupuskan RM24.7 bilion hutang PTPTN itu adalah dengan memperkenalkan pelaburan tetap dalam sektor pendidikan sebanyak RM2 bilion setahun daripada hasil minyak Petronas.

Memberi taklimat pada program Runding Cara: PTPTN dan Masa Depan Pembiayaan Pendidikan Tinggi di Shah Alam, malam semalam, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli (gambar) menjangkakan dengan adanya tabung itu semua hutang PTPTN mampu dibayar kerajaan dalam jangka masa 15 tahun.


“Sejak 2006 hingga 2009 kerajaan mendapat hasil daripada petronas sebanyak RM236 bilion manakala sejak Petronas ditubuhkan pada 1974 Petronas memberikan sebanyak RM431 bilion kepada kerajaan.

“Malaysia adalah satu-satunya negara yang tidak menggunakan wang hasil minyak untuk melabur dalam sektor masa hadapan, sedangkan di negara-negara pengeluar minyak lain menggunakan hasil minyak untuk melabur dalam sektor itu termasuk pendidikan dan penyelidikan.

“Oleh itu kita cadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu pelaburan tetap daripada hasil Petronas untuk sektor pendidikan,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga boleh menerbitkan bon yang lebih panjang tempoh pembayarannya untuk memenuhi jadual pembayaran hutang yang diambil alih.

Katanya, bon itu boleh dibayar dalam jangka masa 10 tahun iaitu kira-kira RM2 bilion setahun untuk melangsaikan hutang PTPTN berjumlah RM24.7 bilion.

Wujudkan sistem pendidikan percuma


Menurut Rafizi, fokus utama Pakatan Rakyat bukanlah melupuskan hutang PTPTN semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah mewujudkan sistem pendidikan percuma daripada peringkat rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, setiap rakyat wajar mendapat tempat di institusi pengajian tinggi secara percuma mengikut minat dan keperluan. Konsep percuma itu meliputi yuran pengajian dan juga kemudahan tempat tinggal.

Tambah beliau, sekiranya kerajaan dapat menampung kedua-dua aspek itu, rakyat yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dapat menjimatkan kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan pengajian.

“Bila kemudahan tempat tinggal tidak disediakan dengan baik, siswa terpaksa menanggung kos tempat tinggal yang tinggi, jadi pendapat saya, paling kurang minima setidak-tidaknya perlu membiayai yuran dan tempat tinggal,” katanya.

Rafizi berpendapat, sistem pendidikan tinggi tidak perlu dikomersialkan atau sebagai medium untuk mendapat keuntungan semata-mata.

Katanya, kerajaan dilihat cuba lepas tangan dalam memberi pengajian tinggi percuma apabila mengkomersialkannya kepada pihak swasta.

“Apabila rakyat tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi yang disediakan kerajaan, rakyat tidak mempunyai pilihan lain untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi swasta.-K/Daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...