Thursday, April 19, 2012

Anwar cadang S’gor pilihanraya berasingan jika daftar pemilih tak dibersihkan

                  Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya Selangor tidak menyertai pilihan raya serentak dengan Kerajaan Persekutuan selagi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak membersihkan daftar pemilih di negeri itu.
                 Beliau berkata, parti sama ada daripada Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional (BN) perlu mengadakan perbincangan dengan SPR bagi mendapatkan jaminan tidak ada penipuan dalam pilihanraya umum (PRU) akan datang.

“Di Selangor kita dapati sehingga Disember 2011 ada pertambahan sehingga 398,300 dan 91,000 pengundi yang dipindah masuk. Jumlah keseluruhannya adalah 489, 705 dan merupakan 38 peratus penambahan daripada penambahan di seluruh negara.


“Jadi kita mencadangkan supaya Selangor tidak mengadakan pilihanraya serentak dengan kerajaan persekutuan sehingga SPR melakukan pembersihan daftar pemilih dan memberi jaminan tidak ada penipuan dalam PRU ke 13,” Katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pemimpin tertinggi
Pakatan rakyat di bangunan Parlimen hari ini.

Sidang media itu turut disertai Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali

Bagi negeri-begeri Pakatan Rakyat yang lain, Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN berkata ia masih di peringkat perbincangan dan terserah kepada pimpinan negeri untuk memutuskannya.

“Kita memberi perhatian kepada negeri Selangor sebab penipuan daftar pemilihnya terlalu ‘parah’ . Perkara ini ada kaitan dengan hasrat BN untuk merampas Selangor dalam apa cara sekali pun,” katanya.

Penganalisis pilihan raya, Ong Kian Ming 10 April lalu mendedahkan terdapat 400,000 pengundi meragukan dalam daftar pemilih yang mampu menentukan nasib 35 kerusi Parlimen samada dikuasai Pakatan Rakyat atau BN.

Menurutnya, daftar pemilih daripada suku 2011 menunjukkan jumlah pengundi di Selangor mengalami peningkatan mendadak kepada 340,000 atau 21.8 peratus kepada 1.9 juta pengundi sejak pilihan raya 2008 dibandingkan kadar nasional sebanyak 16.3 peratus.

Beliau menunjukkan contoh di Hulu Selangor sahaja mengalami peningkatan 17,000 pengundi, peningkatan 27.1 peratus sejak pilihan raya pada Mac 2008.- KeadilanDaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...