Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata dalam kenyataan medianya, isu pilihan raya berasingan tidak akan timbul sekiranya SPR bersungguh-sungguh membersihkan senarai daftar pemilih yang meningkat mendadak.
“Walaupun telah banyak bukti yang dikemukakan, namun SPR masih gagal bertindak sewajarnya, sebaliknya memberikan alasan pelik dan tidak munasabah.
“Hak mengadakan PRU bersama-sama atau berasingan terletak sepenuhnya pada kerajaan negeri. SPR tidak boleh menggunakan alasan belanja RM30 juta untuk menyekat hak tersebut.
“Mereka harus sedar tindakan mengadakan pilihan raya berasingan adalah akibat dari kegagalan SPR membersihkan dan mengambil langkah berkesan sebagaimana unjuran Bersih 2.0,” katanya.
Faekah berkata, perjumpaan pertama kali kerajaan Selangor bersama SPR baru-baru ini membuktikan komitmen Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk memastikan PRU akan datang adil, bersih dan bebas.
Menurut beliau, dalam pertemuan lebih dua jam itu, isu pembaziran wang rakyat jika Selangor mengadakan pilihan raya berasingan langsung tidak dibangkitkan, walaupun SPR maklum lebih awal dengan keputusan ini yang dipersetujui Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat.
“(Sebab itu) Kerajaan Selangor sanggup membantu SPR membersihkan senarai daftar pemilih menerusi program Selangorku Bersih lantaran kewujudan lebih 42,000 pemilih yang amat meragukan,” kata Faekah.
Justeru, SPR perlu melaksanakan tanggungjawab secara bebas dan jangan mengikut telunjuk BN atau mana-mana parti politik seperti lembu dicucuk hidung, kata Faekah.
“Kita amat kecewa apabila SPR tanpa berselindung menunjukkan sokongan kepada BN. Jika ada pegawai tertinggi SPR mahu berpolitik, sila letak jawatan dan bertanding sebagai calon BN,” tegas beliau.-Keadilandaily
No comments:
Post a Comment