Monday, April 16, 2012

Manifesto penghapusan PTPTN

              Manifesto penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) oleh Pakatan Rakyat (PR) jika mereka berjaya menguasai Putrajaya pada Pilihanraya Umum yang akan datang, makin begitu hangat diperbincangkan dengan pelbagai pandangan diutarakan, ada yang menyokong, tidak kurang juga yang membangkang.
             Ada juga yang menganggap ia hanya sekadar isu ‘ pemanas’ untuk meraih sokongan kalangan pengundi-pengundi muda pada saat-saat akhir, sekiranya pilihanraya umum diadakan dalam tempoh yang terdekat, setidak-tidaknya seawal bulan Jun ataupun September 2012.

Namun, secara umumnya kalangan khalayak, khususnya dikalangan mahasiswa/i menyambut baik terhadap cadangan manifesto tersebut.

Di sebalik pandangan yang bercampur-baur, saya cuba untuk melihat dan menilai manifesto ini daripada perspektif yang berbeza.


Pada saya, bukan isu utama samada ia boleh dilaksanakan ataupun tidak. Angka RM46 billion yang dianggap sebagai kos penghapusan PTPTN, bukanlah satu masalah yang besar kepada kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat (walaupun ia masih belum berada di lapangan).

Ia memang boleh diperolehi dengan pelbagai instrumen yang ada. Juga, tidak perlu timbul isu kerajaan akan menjadi muflis ataupun papa-kedana, jika ada fokus dan keutamaan yang jelas serta telus dalam aspek pengurusan sumber kewangan yang ada.

Namun demikian, pada saya isu yang paling utama yang perlu dibangkitkan oleh kedua-dua belah pihak adalah implikasi secara jangka panjang kepada mahasiswa/I dan institusi yang terbabit, samada yang berstatus IPTA, mahupun IPTS pasca penghapusan. Memang tidak dinafikan, penghapusan tersebut akan memberikan ‘ nafas serta keyakinan baru’ kepada rakyat.
Iaitu, dengan menikmati kos pendidikan pada peringkat tinggi secara percuma dan tanpa sebarang liabiliti setelah tamat tempoh pengajian kelak.

Namun jika difikirkan secara mendalam, ianya akan mencetus pelbagai implikasi jangka panjang yang kurang sihat kepada banyak pihak, tambahan jika tidak ada tindakan susulan dan kawal selia yang cekap serta telus terhadap pihak-pihak yang terlibat, khususnya institusi pendidikan tinggi dan juga mahasiswa/i yang terlibat. Berikut antara implikasi yang perlu diselami oleh pihak-pihak yang terlibat, samada yang mencetus atau yang membangkang terhadap perlaksanaan manifesto tersebut:

Pertama, bersangkutan dengan sumber dana yang ingin digunakan untuk merealisasikan hasrat ini. Sekiranya Pakatan Rakyat mengambil keputusan untuk menggunakan sejumlah tertentu daripada mana-mana dana awam dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan sebagainya untuk menampung kos penghapusan PTPTN, implikasi jangka panjang yang konsisten kepada nilai pelaburan serta pulangan kepada ahli-ahlinya perlu diambil perhatian.
Apakah ia hanya dianggap sebagai ‘qardhul hasan’ (pinjaman tanpa faedah) institusi-institusi tersebut kepada kerajaan? Jika benar, bagaimana pula ia akan dibayar balik? Dan, apakah jaminan yang ianya akan dibayar balik sepenuhnya?

Keduanya, penghapusan PTPTN secara angkanya akan menambahkan bebanan perbelanjaan mengurus kerajaan daripada dua aspek yang utama, iaitu pertama, untuk membayar semula pinjaman yang telah digunakan untuk menghapus PTPTN. Keduanya, untuk menampung kos yuran pengajian sepenuhnya.

Situasi ini akan menjurus kepada kemungkinan, merundumnya kualiti dan kecekapan IPTA-IPTA yang ada, kerana ia akan berdepan dengan pelbagai kekangan kos. Yang mana, akan menyaksikan penghijrahan pakar-pakar akademik yang berkualiti ke IPTS ataupun industri.

Juga, penyelengaraan IPTA-IPTA akan menjadi lebih tidak terurus, akauntabiliti semua pihak akan terabai, kerana ia telah dikuasai oleh ‘ mentaliti percuma’, akhirnya fasiliti IPTA akan menjadi seperti ‘ taman-taman permainan dan tandas-tandas awam’ yang ada di sekeliling kita.

Ketiga, tentang semangat dan nilai kecemerlangan akademik serta sakhsiah para pelajar yang kemungkinan besar akan terkesan dengan ‘mentaliti percuma’. Yang akhirnya, sekadar melahirkan ‘graduan cukup makan’, dengan hanya sekeping pengiktirafan tanpa ‘value-added’ dan ‘ marketability’ yang sewajarnya.
Paling dibimbangi, akan berlaku lambakan graduan yang tidak sejajar dengan perkembangan ekonomi, yang seterusnya akan meningkatkan kadar pengangguran.

Keempat, masa depan IPTS-IPTS bumiputera yang berskala kecil yang selama ini banyak bergantung harap kepada PTPTN perlu juga dilihat secara serius.

Apakah kita merelakan mereka ‘ golongan tikar’ ataupun sekadar beroperasi dengan ‘jiwa dan raga’ yang cukup daif? Jika ini berlaku, peluang-peluang kerjaya akademik akan menerima tempias yang hebat, dan hanya mengharapkan IPTA-IPTA yang tempatnya sudah pasti amat terhad.

Justeru, untuk tidak menghampakan harapan rakyat, kedua-dua belah pihak perlu menggariskan satu pendekatan yang lebih telus dan praktikal untuk dilaksanakan, dan kembalikan semula kepada rakyat untuk dinilai berbanding dengan hanya penyelesaian melalui ‘ cakap-cakap politik’ yang tidak akan berpenghujung.

Pada saya, adalah lebih wajar jika PTPTN ditambah-baik dari sudut pengurusan sumber kewangannya daripada ia dihapuskan sepenuhnya. Agar satu hari kelak, ia akan menjadi sebuah institusi yang mampu berdiri di atas kaki sendiri dan mempunyai asas kewangan yang cukup kuat sebagai ‘ independent financier’ kepada institusi-institusi pengajian tinggi.
Pada ketika itu, adalah sesuatu yang realistik bagi rakyat menikmati pendidikan tinggi secara percuma, sebagaimana yang dinikmati di peringkat sekolah hari ini.

Antara saranan saya adalah seperti berikut:

Pertama, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu diberikan status dan hak untuk mencari dan mengurus sumber kewangan secara lebih proaktif dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pelaburan sebagaimana yang dilaksanakan oleh dana-dana awam yang lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji (LTH).

Kedua, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu diberikan hak untuk menerima sebahagian peratusan tertentu daripada Potongan Cukai Berjadual (PCB) yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Sebagai contoh, jika setiap orang pekerja membuat potongan cukai sebanyak RM100 sebulan, katakan 30% (RM30) perlu disumbangkan kepada PTPTN untuk dijadikan sebagai dana asas menjana aktiviti pelaburan mereka.

Ketiga, galakan lebih proaktif terhadap Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada golongan yang berumur 40 tahun ke bawah dengan skim dividen yang lebih ‘attractive’. Hasil kutipan daripada skim ini boleh digunakan oleh pihak PTPTN sebagai modal untuk lebih mengembangkan aktiviti perlaburan mereka.

Keempat, pembayaran balik pinjaman PTPTN tidak lagi bersifat 100% pada peringkat permulaan. Dengan adanya sumber kewangan yang kukuh, barangkali setiap pelajar yang meminjam dalam tempoh 3 tahun yang pertama, hanya perlu membayar katakan 70% daripada jumlah pinjaman mereka.
Itupun, setelah mereka mendapat pekerjaan yang tetap. Dan, peratusan bayaran baliknya akan terus berkurang untuk tahun-tahun yang mendatang sehinggalah pada satu tahap pendidikan peringkat tinggi dapat diberikan secara percuma sepenuhnya.

Kelima, laksanakan pengabungan IPTA dengan tujuan untuk meningkatan kualiti dan kecekapan pada kos yang lebih optimum. Barangkali, sejumlah 20 buah IPTA yang ada pada hari ini diseluruh negara dapat digabungkan menjadi 10 IPTA dengan mengekalkan jumlah pengambilan seperti biasa.
Bermakna, mana-mana fakulti atau jabatan yang dilihat saling bertindih antara satu sama lain, dapat digabung menjadi satu dengan turut memanafaatkan perkembangan teknologi dan ICT yang ada.

Keenam penubuhan Suruhanjaya Universiti Malaysia (SUM) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang akan menjadi ‘ regulator’ kepada IPTA/IPTS bagi membuat pantauan dan kawal selia terhadap operasinya agak sentiasa menepati piawai yang telah ditetapkan. Juga memberikan hak dan kuasa kepada SUM untuk mengambil tindakan mahkamah kepada mana-mana IPTA yang melanggari peruntukan yang telah ditetapkan.

Dengan ini, diharapkan ia dapat beroperasi dengan lebih telus dan cekap, yang mana pada tempoh jangka panjang mampu meletakkan pengurusan IPTA pada kos yang lebih optimum tanpa mengorbankan kualiti akademik dan sakhsiah graduan yang bakal dilahirkan. Tidak terkecuali juga kepada IPTS.

Saya mencadangkan agar diadakan diskusi terbuka secara professional dan telus diantara kedua-dua belah pihak dengan membentangkan pendekatan masing-masing dalam menangani isu penghapusan PTPTN ini. Iaitu dekat satu tekad, untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukannya sekadar untuk mencari populariti demi meraih sokongan. Soal sokongan, biarlah rakyat yang menentukan.

Pendekatan yang bersifat defensif dari ‘kubu masing-masing’ tidak akan dapat menyelesaikan isu ini secara berkesan. Seolah-olah dilihat, masing-masing berada di posisi ‘ tarik tali’ , seketika ke kanan dan seketika ke kiri, tidak ada apa-apa solusi. Akhirnya, apa yang ditarik tidak diperolehi, apa yang digengam terlepas. Barulah pada ketika itu, masing-masing mula berputih mata.
Dan, apa yang lebih penting adalah nasib dan masa depan agama, rakyat dan negara yang diharus diperjudi semata-mata disebabkan perbezaan ‘manhaj’ politik masing-masing. Saya akhiri tulisan ini dengan satu ungkapan, ‘yang popular belum tentu benar, dan yang benar tidak semestinya popular’. Wassalam.-Hrkhdly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...