Tuesday, October 9, 2012

Perkauman: Hisham seperti pencuri menjerit pencuri


Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyifatkan tindakan pembangkang yang menggembar-gemburkan isu agama dan perkauman sejak akhir-akhir ini seperti pencuri menjerit pencuri.

“Hakikat yang berlaku Umno dan rakan sejawat mereka yang sering memainkan isu ini,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad dalam satu kenyataan.

Buktinya, kata beliau kenyataan Ketua Umno Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail yang membangkitkan kenyataan bahawa India dan Cina adalah kaum pendatang.


Selain itu, ujarnya bekas Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Nasir Safar dalam seminar 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka telah menimbulkan isu perkauman iaitu orang Cina dan India sekarang kekal sebagai pendatang di bumi Malaysia.

Justeru, katanya Hishammuddin jangan pura-pura tidak tahu.

, menurutnya sekarang guru-guru dipanggil dengan diberi taklimat keselamatan, isinya penuh dengan menanamkan perasaan kebencian kepada Pakatan Rakyat, kononnya jikalau BN kalah negara tidak tenteram.

Katanya, bukankah pemimpin Umno dan MCA yang bersikap lidah bercabang yang memainkan isu perkauman dan agama.

Katanya lagi, pemimpin Umno berjumpa dengan orang Melayu mengatakan bahawa PAS sudah tidak pejuangkan Islam sejak berkawan dengan DAP, apabila berjumpa dengan orang bukan Islam, mereka memberi amaran jangan pangkah Pakatan Rakyat nanti PAS akan berkuasa.

Begitulah, ujar beliau dengan MCA apabila berjumpa dengan pengundi Cina, Presidennya memberi amaran jangan undi Pakatan Rakyat nanti PAS yang dominan.

“Siapakah yang beri keranda kepada Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng sempena ulang tahun pemerintahan tiga tahun Pakatan Rakyat di Pulau Pinang?” tanya beliau.

Menurutnya, media Umno membuat fitnah kononnya agama rasmi akan ditukar kepada agama Kristian jika Pakatan Rakyat menang.

Tegasnya, tidak logik langsung laporan itu sedangkan ia memerlukan 2/3 untuk pinda Perlembagaan, iaitu 148 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.

Jelasnya, kerusi majoriti bukan Islam di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak hanya 69 kerusi, lebih-lebih lagi persepakatan bertulis telah bersetuju bahawa Islam Agama Persekutuan di Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama pada 19 Disember 2019 di Shah Alam.

Katanya, Datuk Zaini Hasan orang kuat Utusan Malaysia di dalam ruangan cuitnya telah menggagaskan “1Melayu 1Bumi”, jadi apakah maknanya itu kepada Hishammuddin.

“Adakah kenyataan ini dikeluarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat?

“Adakah beliau selaku Naib Presiden Umno buta mata atas kenyataan ini?” tany beliau.

Katanya, akhbar Utusan Malaysia yang dimiliki oleh Umno telah membangkitkan sentimen agama dan perkauman.

“Walaupun beberapa kali kalah di mahkamah mengenai fitnah yang dibangkitkan namun tidak memberi keinsafan untuk menghentikan budaya fitnah ini, asalkan matlamat politik mereka tercapai,” katanya lagi.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...