Wednesday, October 17, 2012

Musa gugur kes saman ke atas Anwar


Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah menggugurkan kes saman ke atas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak dalam perbicaraan yang berlangsung hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Peguam, Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Musa memberitahu hakim Datuk Asmabi Mohamad anak guamnya menarik balik kes saman tersebut dan tidak akan meneruskannya tanpa sebarang syarat.

“Anak guam (Musa) saya menarik balik kes saman ini dan tidak akan meneruskannya tanpa sebarang syarat,” kata Kamarul.

N Surendran yang mewakili Anwar pula berkata pihaknya berpuas-hati dengan keputusan pihak plaintif dan pada masa sama tidak akan meminta sebarang kos ke atas Musa.


Anwar membuat laporan di ibu pejabat polis kontinjen Selangor pada 1 Julai 2008 dengan dakwaan Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mereka-reka keterangan dan menyembunyi beberapa fakta dalam penyiasatan serangan fizikal terhadapnya oleh KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.

Berikutan itu, Musa menfailkan saman terhadap Anwar pada 21 Julai 2008 atas alasan dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar dan telah mencemarkan maruah peribadi, imej, kehormatan dan nama baiknya dan juga kapasiti profesionalnya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Musa menafikan mengambil bahagian dalam konspirasi untuk mereka-reka keterangan dan menyembunyikan fakta berkaitan serangan itu.

Musa juga berkata beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam apa cara sekalipun dalam penyiasatan kes rasuah dan liwat Anwar.

Musa yang ditemui diluar mahkamah menerangkan keputusan untuk menyelesaikan perkara tersebut diambil selepas beliau diberitahu berlaku “salah faham” dalam peranannya di dalam kes saman tersebut.

“Saya diberitahu terdapat salah faham tentang peranan saya di dalam kes yang difailkan ke mahkamah ini melibatkan insiden mata lebam disebelah pihak defendan.

“Jadi saya menerima cadangan untuk menyelesaikan perkara ini diluar mahkamah,” kata Musa kepada wartawan.

Musa juga berkata keputusan untuk menggugurkan kes sama tersebut tidak bermakna tuduhan ke atasnya adalah benar.

Apabila ditanya mengenai bentuk penyelesaian di luar mahkamah antara Musa dan Anwar, Kamarul Hisham menerangkan keputusan pengguguran kes dan tidak meminta kos daripada pihak defendan adalah bentuk penyelesaian bersama yang dicapai kedua-dua mereka.

“Ia adalah mudah, bentuk penyelesaian luar mahkamah adalah melalui pengguguran kes dan pihak mereka tidak meminta sebarang kos. Ia adalah semudah itu,” terang Kamarul Hisham.

Bekas KPN berusia 60 tahun sebelum ini bersama Abdul Gani telah disiasat ekoran dakwaan Anwar tersebut namun bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman mengetuai panel tiga orang telah membersihkan kedua-dua mereka daripada penyalahgunaan kuasa.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga membuka kertas siasatan ke atas Musa dan Abdul Gani.

Dalam semakan saman ke atas Anwar, Musa telah menuntut ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk, faedah lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang Anwar daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu.

Peguam Anwar walaubagaimanapun menafikan kenyataan Musa bahawa kes tersebut telah selesai diluar mahakamah.

"Penarikbalikkan kes saman terhadap anak guam kami adalah tanpa sebarang syarat dan tidak ada penyelesaian kes diluar mahkamah seperti yang didakwa oleh Musa Hassan.

"The withdrawal was initiated by Musa Hassan or his representative and at all times Anwar Ibrahim was ready to proceed with case," Surendran and his colleague, Latheefa Koya, said in a joint media statement sent out this afternoon after the court hearing.

"Penarikkan kes ini telah dimulakan oleh Musa Hassan atau wakilnya dan pada setiap masa, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah bersedia untuk meneruskan kes," Surendran dan rakan peguamnya , Latheefa Koya, berkata dalam satu kenyataan media bersama yang dihantar keluar petang ini selepas pendengaran mahkamah.

Kedua-dua peguam menambah bahawa Anwar akan meneruskan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan polis beliau.



The Malaysian Insider

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...