Wednesday, October 24, 2012

Pemimpin BN Negeri Sembilan Miliki Hutan Simpan Tetap


Akibat rasuah dan kroni Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan di Jempol, Negeri Sembilan seluas 487.3 hektar bertukar milik kepada pemimpin Umno-BN.

Hutan yang wartakan sejak 30 Ogos 1918 kini diteroka bagi tujuan pembalakan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa, status hutan simpan tetap itu kemudiannya dibatalkan pada 11 Mac 2004 untuk membolehkan aktiviti pembalakan berlaku di situ.

Beliau berkata, pembatalan tersebut bertentangan dengan Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Akta 172).


“Berdasarkan siasatan dan kajian yang dilakukan, PKR mendapati bahawa Negeri Sembilan adalah negeri di Semenanjung Malaysia yang paling banyak menghapuskan hutan simpan untuk tujuan pembalakan.

“Di antara tahun 2005 hingga 2011, Umno-BN di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan menghapuskan hutan simpan seluas 8,616 hektar melalui pewartaan membatalkan status hutan simpan kekal yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh beliau,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah Jempol 2002–2015 jelas menunjukkan bahawa Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan adalah berkategori Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 dan tidak boleh dibangunkan.

Sementara Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2001–2020 secara jelas menyebut bahawa Zon KSAS pada tahap tinggi perlu dipelihara supaya tidak membawa bencana alam seperti tanah runtuh yang akan mengancam nyawa dan harta benda masyarakat.

“Oleh yang demikian, pewartaan membatalkan status hutan simpan tetap bertarikh 11 Mac 2004 adalah tidak sah disisi undang-undang kerana bertentangan dengan rancangan tempatan sedia ada, lalu melanggar Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa.

“Malangnya, Umno-BN di bawah pentadbiran dua orang Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad dan Mohamad Hassan tidak menghiraukan undang-undang dan membenarkan penerokaan berlaku. Balak di kawasan hutan ini telah ditebang sepenuhnya dan kini ia telah diusahakan pula sebagai kawasan penanaman kelapa sawit,” katanya lagi.

Tambahnya, PKR turut mempunyai bukti bahawa pimpinan Umno-BN mendapat keuntungan dari tindakanmelanggar undang-undang itu hasil daripada kegiatan pembalakan dan penanaman kelapa sawit.-Selangorku

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...