Wednesday, October 3, 2012

Bajet tanpa muhasabah ketirisan hanya bajet politik


Bajet tanpa muhasabah terhadap penyelewengan dan ketirisan wang negara sebelum ini hanya akan membawa kepada bajet politik semata-mata seperti Bajet 2013 yang telah dikemukakan BN.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Bajet 2013 memperlihatkan betapa BN menggunakan bajet kali ini untuk menutup segala penyelewengan yang berlaku demi survival politik mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Malah katanya, selepas Bajet 2013 dibentang, penyelewengan, ketirisan dan salah guna kuasa dijangka tetap akan berlaku kerana matlamat bajet itu sendiri lebih kepada untuk mengekalkan kuasa politik BN dan bukan membela rakyat terbanyak.


"Tak dinafikan bajet dan politik tidak boleh dipisahkan, tapi jangan bermain politik dengan bajet.

"Banyak penyelewengan hilang cerita, dan timbul pula cerita baru. Di bawa ke mahkamah sekejap, habis cerita, tak tahu apa tindakan terhadap pesalah itu," katanya ketika membahaskan Bajet 2013 di parlimen petang semalam.

Beliau memberikan contoh penyelewengan dalam kes Bank Bumiputera, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kapal selam dan Perwaja yang sehingga kini tidak diketahui apa tindakan terhadap mereka-mereka yang terlibat.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu juga, jika pilihan raya dibuat dalam suasana yang bebas dan adil, rakyat sudah tentu akan menghukum kerajaan yang korup dan memilih mereka yang lebih baik untuk menerajui pentadbiran negara.

Namun katanya, kerajaan dilihat cuba menggunakan bajet kali ini untuk mengaburi mata rakyat dengan juga menggunakan slogan 'janji ditepati' demi kepentingan politik BN.

"Jangan lekakan rakyat dengan slogan-slogan bertali arus satu demi satu.

"Tidak dinafikan ada janji ditepati, tetapi ada yang tidak," katanya.

Sebagai contoh katanya, rakyat Sabah masih ketinggalan walaupun merdeka lebih 40 tahun.

Selain itu, Lebuh Raya Timur Barat juga gagal siap mengikut jadual manakala Lebuh Raya Simpang Pulai-Gua Musang yang dirancang sejak 70-an juga tidak selesai.

"Janji ditepati, buat stadium runtuh, buat jambatan runtuh, buat makmal runtuh," tambahnya lagi.

Sebab itu katanya, antara asas bajet yang sempurna juga adalah pembangunan insan, konsep kewangan iaitu sumber halal dan berkat, serta perlaksanaan amar makruf nahi mungkar.

"Zalim membawa kepada tidak berkat," katanya sambil memberi contoh penafian bayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu.- Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...