Sunday, October 21, 2012

Pakatan Rakyat akan ubah polisi kabotaj


Pakatan Rakyat bersedia mengubah polisi pengangkutan laut atau kabotaj yang selama ini menyebabkan harga barangan di Sabah lebih tinggi berbanding semenanjung, jika diberi mandat untuk memerintah negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam musa berkata, polisi kabotaj yang dibuat oleh kerajaan BN selama ini hanya bersifat menguntungkan pihak pengusaha kapal dan bukan rakyat kebanyakan.

"Pada saya ianya bukan kabotaj, tapi sabotaj polisi. Ianya Zalim, tidak berperi kemanusiaan. Kenapa perlu orang Sabah bayar gula, gandum, beras dan lain-lain dengan harga lebih mahal?


"Sebab itu jika Pakatan Rakyat memerintah, saya akan cadang kerajaan peruntukkan RM1 bilion untuk kapal-kapal angkut barangan, supaya harga barang jadi murah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Politik Baharu Sabah di Star City Convention Centre di sini hari ini.

Polisi kabotaj ini didakwa adalah punca utama perbezaan harga barangan Sabah dengan semenanjung sekaligus memperlahankan dan menyekatkan pertumbuhan ekonomi Sabah.

Ianya juga menyebabkan harga barangan di Sabah lebih mahal antara 20 hingga 30 peratus berbanding Semenanjung.
.

Menurut Husam lagi, kerajaan sehingga kini tidak berhasrat mengubah polisi kabotaj ini biarpun disuarakan rakyat negeri ini.

"Kalau dia (BN) tak nak tukar (kabotaj), kita kena tukar kerajaan, baru boleh tukar polisi kabotaj.

"Kalau kita terima sahaja polisi ini, maknanya rakyat Sabah mengainaya diri sendiri," katanya yang juga Exco Kerajaan Kelantan.

Lebuh Raya tanpa tol

Dalam pada itu, Pakatan Rakyat bersedia membina lebuh raya tanpa tol jika diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Menurut Husam, perkara itu tidak mustahil kerana Sabah mempunyai hasil negeri yang sangat banyak jika diurus dengan betul.

"Saya boleh dengan yakinnya jika Pakatan Rakyat menang di Sabah, lebuh raya tanpa tol.

"Lebuh raya bandar Kota Kinabalu-Sandakan-Tawau akan dibina Pakatan Rakyat tanpa tol," katanya.-Harakahdaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...