Aku hanya mencari kebenaran demi keadilan sejagat. Dilahirkan di bumi tuhan sebagai insan kerdil yang tidak mempunyai apa-apa. Negara ini penuh penipuan dengan cerita cerita dongeng dan sandiwara oleh orang politik. Kehidupan mereka penuh khayalan dengan memperkayakan diri tanpa simpati pada yang daif. Mereka angkut hasil bumi tuhan dari titik peluh rakyat untuk kepentingan mereka. Mandat rakyat dijadikan modal politik usang untuk memperkayakan kroni. Rakyat harus tolak pemimpin-pemimpin ini
Sunday, October 14, 2012
Jangan was-was, lakukanlah perubahan - Aspan Alias
Rasa tidak terdaya untuk membaca dan mengulas tentang isu-isu yang mengelilingi politik negara. Seperti mana yang saya sebut selalu kebanyakan isu yang ditimbulkan ialah isu rasuah yang besar yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan yang dipimpin UMNO kini. Saya tetap akan terus menerus bercakap tentang rasuah ini kerana rasuah adalah kerja yang sangat hina dan ia boleh menjahanamkan sebuah negara. Sebelum ia menjahanamkan negara elok rakyat bertindak dengan kesatuan yang kuat kerana perasuah ini bukan mudah untuk dihapuskan.
Usaha menghapuskan rasuah ini memerlukan kerjasama yang rapat di antara semua pihak dan rakyat keseluruhannya kerana kehancuran terhadap negara itu akan pasti sampai jika rasuah yang keterlaluan ini tidak dibendung. Perjuangan ini merupakan perjuangan yang panjang dan memakan masa yang lama, tetapi langkah permulaan wajar berlaku sekarang kerana jika usaha ini ditangguh-tangguhkan ia akan menjadi barah yang susah untuk dikawal.
Perjuangan melawan rasuah ini memerlukan permuafakatan yang jitu dari rakyat semua kaum dan juga dari parti-parti politik serta setiap individu-individu yang sedar tentang bahayanya rasuah ini dibendung. Maka samada terdaya atau pun tidak, kita harus ke depan dan memerangi rasuah ini habis-habisan melalui cara yang halal dan dibenarkan oleh perundangan negara kita.
Banyak pihak telah membuat teguran dan desakan untuk pimpinan sekarang ini melakukan pembersihan terhadap rasuah ini kerana UMNO merupakan parti yang memimpin negara kita. Namun semua desakan itu tidak pergi ke mana, malahan rasuah berkembang dengan begitu menjolok mata sehinggakan kita semua tidak tahan lagi untuk bersabar.
Rasuah sudah menjadi mainan kepada pimpinan hari ini. Rasuah dilakukan oleh mereka seperti makan sarapan harian. Tidak ada rasa malu dan tidak merasa bersalah terhadap rakyat yang memberikan mereka mandat. Oleh kerana amalan buruk ini sudah berlaku begitu lama ianya sudah bersarang di dalam pentadbiran kerajaan hari ini. Tidak siapa yang mahu melakukan kerja tanpa mendapat habuan secara rasuah.
Itu sebabnya saya dan ramai yang lain mahukan pembanterasan rasuah ini dilakukan secara politik. Kenapa secara politik? Kerana ahli dan parti politik yang diberi mandatlah yang menyebabkan rasuah ini berluas-luasa. Menteri-menteri tidak tahu tugas dan tanggungjawab mereka lagi. Menteri-menteri sepatutnya duduk di pejabat untuk memantau perlakuan pelaksana ia itu penjawat awam yang melaksanakan tanggungjawab mereka. Menteri-menterinya wajar memelihara kebersihan kementerian mereka daripada rasuah. Itu tugas mereka sebenarnya.
Tetapi menteri-menterinya pula yang bersekongkol dengan perasuah malahan menteri-menteri pula yang memberikan perlindungan terhadap penjawat awam di bawah mereka untuk kepentingan bersama yang menjijikkan itu. Apabila menteri-menteri ini bersama-sama ‘mencari makan tambahan’ ini bersekongkol dengan perasuah itu maka menteri-menteri ini tidak lagi dihormati oleh penjawat awam di bawah kementerian masing-masing dan mereka bebas untuk melakukan kerja hina ini terang-terangan.
Kerja-kerja ini sudah berlaku begitu lama sehinggakan ramai di antara penjawat awam yang bersih dari rasuah ini tidak lagi bersama dengan parti yang sedang memerintah. Banyak usaha dilakukan oleh berbagai-bagai pihak untuk membawa kes-kes ini kemuka pengadilan, tetapi ada pula yang mempertahankannya dari jabatan perundangan negara itu sendiri.
‘Attorney General’ sendiri mengambil sikap melindungi mereka yang rasuah ini dengan memilih-memilih kes yang melibatkan mereka yang berkuasa. Yang ini dibawa ke depan, dan yang ini NFA (no further action) dan tidak dihadapkan ke mahkamah. Masing-masing yang besar-besar dalam kerajaan bekerjasama untuk melindungi rasuah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar negara.
Rasuah sudah menjadi sebati sehinggakan tidak ada siapa yang boleh mengambil tindakan kepada sesiapa kerana yang patut mengambil tindakan ini juga sedang dipersoalkan kewibawaan mereka. AG Ghani Patail sendiri mempunyai stigma yang buruk. Bagaimana beliau boleh masih kekal dengan jawatan yang penting itu. Pendeknya tidak ada siapa lagi di dalam ‘regim’ hari ini boleh dipercayai untuk menjaga rakyat dan negara ini dengan baik dan sempurna.
Itulah sebabnya ramai rakyat merasakan yang ‘gerombolan’ ini patut dinyahkan dari kuasa. Sebagai rakyat yang mahukan keamanan kita tidak mahu memilih untuk melakukan kekerasan seperti apa yang berlaku di negara-negara arab sekarang ini. Kita sudah ada cara yang sesuai untuk menukar kerajaan tanpa kekerasan.
Kita mengambil pilihanraya sebagai tempat dan premis untuk menukar wajah negara kita di zaman kemajuan ini. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan memberikan mandat kepada pihak lain untuk menjaga negara dan rakyat selama lima tahun yang akan datang.
Sekarang ini kita melihat rakyat sudah bangkit dan mahukan perubahan ini dilakukan segera dan PRU13 inilah masanya untuk melakukannya. Jika pakatan baru ini tidak menjalankan tugas seperti yang diharapkan rakyat akan kembali membuat perubahan di masa depan. Di sini kita dapat menekankan yang rakyatlah yang berkuasa dengan sebenarnya, bukannya Najib, Mahathir atau sesiapa.
Tetapi apa yang kita lihat sekarang ini, jika tidak ada apa yang saya selalu sebut sebagai ‘legal cheating’ dilakukan oleh pihak UMNO dan BN pertukaran kerajaan tidak akan dapat dibendung lagi. Itulah sebabnya PM Najib dan seluruh kepimpinan hari ini merasakan bahang perubahan ini. Gerombolan ini sedang berusaha mempertahan kuasa yang ada hari ini dengan menabur fitnah dan selalu mengatakan yang PR tidak akan boleh memimpin dengan ‘baik’ seperti BN.
Saya selalu berkata. ‘The worst of Pakatan Rakyat is a lot better than the best of BN’. Tidak ada yang terbaik kerana yang terbaik itu bukan sifat manusia. Yang terbaik hanya sifat yang Maha Kuasa dan RasulNya.
Itu sebabnya Tuhan adakan dosa dan pahala kerana manusia diduga dengan kenikmatan dan keburukan. Apabila tubuh kita sudah terbujur roh kita tidak mati. Ia akan menghadap Tuhan semesta alam ini untuk ditimbang semua kerja baik dan buruk semasa hayat kita.
Buat kali ini kita perlu melakukan perubahan itu tanpa was-was. -
Aspan Alias.net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment