Wednesday, August 8, 2012

Royalti: Rakyat Kelantan jangan terpesona

   
               Rakyat Kelantan diingat tidak ‘terpesona’ dengan penubuhan jawatankuasa khas pembayaran tunai hasil petroleum kepada kerajaan negeri kerana ianya belum pasti akan berlaku.
                 Apa lagi jawatankuasa itu diumumkan ketika Negara akan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, berkata penubuhan jawatankuasa itu bukan pemutus bayaran tunai akan dibayar terus pada kerajaan negeri, apa lagi enam bulan tempoh jawatankuasa itu bersidang.

“Selepas itu, ianya akan diproses selama 80 hari, kita nak pilihanraya dah tak lama, jawatankuasa ini masih bersidang, jadi mana untung dan baiknya untuk rakyat?


“Bila selesai sekalipun belum tentu ianya akan dibayar pada kerajaan negeri, kita dah lama kenal Umno dan BN ni, kalau tak buat kerja menipu bukan Umno la jawab dia,” ujarnya yang juga Adun Mengkebang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tadarus dan penyampaian elaun guru-guru Pasti Kelantan. (Gambar)

Beliau juga turut mengingatkan rakyat Kelantan, walau apapun janji Perdana Menteri untuk royalti namun sejarah penipuan dan sekatan yang dilakukan sejak sekian lama, jangan dilupakan.

Tegasnya, jika tiada penipuan sebanyak RM7,000 juta royalti yang sepatutnya dibayar kerajaan pada Kelantan.

Abdul Latif juga turut berkata, percanggahan kenyataan antara pemimpin Umno berhubung royalti cukup membuktikan penubuhan jawatankuasa khas hanya untuk ‘memujuk’ hati rakyat Kelantan.

Katanya, kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed yang mendakwa sebanyak RM61 juta wang ehsan telah diagih pada rakyat di negeri itu ternyata palsu.

“Pada masa yang sama pula, timbalannya, Datuk Dr Awang Adek pula berkata sebanyak RM24 juta telah diagihkan untuk tujuan yang sama, jadi macamana ni?” soalnya.

Sebelum ini kedua pemimpin itu mendakwa Kelantan tidak berhak mendapat royalty memandangkan kedudukan telaga minyak jauh dari perairan Kelantan dan berbagai lagi dalih yang dibuat mereka.

Akhirnya, pada minggu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhubung penubuhan jawatankuasa khas itu.

Sementara itu sebanyak RM368,300 peruntukkan alaun telah dibayar kepada guru-guru Pasti seluruh Kelantan pada majlis itu.

Selain itu, sumbangan untuk program keceriaan Pasti pula sebanyak RM10,000 dan sumbangan untuk program Alam Ria Pasti sebanyak RM3,000 untuk setiap kawasan.

Turut berucap pada majlis itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Hafiz Musa.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...