Wednesday, August 29, 2012

Kurangnya Jalur Gemilang, Merdeka ke-55 hambar

Beberapa hari sahaja lagi menjelang tanggal ulang tahun sambutan hari kemerdekaan, rata-rata orang ramai dilihat bagaikan tidak cakna dan tidak pedulikan tarikh yang dianggap “keramat” oleh pemerintah itu.

Ini dapat diukur daripada kurangnya pengibaran Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan, rumah kediaman dan kenderaan sehingga sambutan merdeka ke-55 tahun ini dilihat paling hambar.

Memang terdapat gesaan daripada pihak kerajaan terutama melalui media televisyen menyeru rakyat mengibarkan bendera kebangsaan. Namun berdasarkan pemerhatian, gesaan tersebut hanya dipandang sepi oleh umum.

Kenapa? Adakah rakyat negara ini sudah hilang semangat patriotismenya? Atau mesyarakat sudah bosan dan jelak kerana merdeka asyik dikaitkan dengan Umno sahaja? Atau adakah rakyat masih mengambil kira kenyataan seorang profesor tahun lalu bahawa “Tanah Melayu tidak pernah dijajah?”


Persoalan beginilah yang kerap bermain di fikiran orang yang pernah menyaksikan sambutan merdeka saban tahun sejak dahulu.

“Memalukan... pihak kerajaan ada beri bendera percuma tapi orang ramai masih enggan memasang atau mengibarkannya,” kata ahli jawatan kuasa Persatuan Sejarah Pahang, Alang Ahmad Teh, 73, yang berpendapat tahun ini paling teruk sambutan merdeka yang ditunjukkan rakyat.

Katanya, terdapat tanda-tanda seolah-olah rakyat sudah ‘fed-up’ terutama golongan muda. Justeru perkara ini perlu diperbetulkan dengan segera. Tambahnya, menyambut ulang tahun kemerdekaan sepatutnya mesti datang daripada kesedaran dan kesyukuran rakyat, bukannya paksaan daripada kerajaan.

“Saya pernah ke Indonesia dan mendapati kukuhnya semangat, betapa bangga dan ghairahnya mereka apabila menjelang sambutan hari merdeka. Walau rumah berlantai buluh sekalipun mereka tetap mengibarkan bendera Sang Saka Merah melambangkan semangat dan penghargaan kepada erti kemerdekaan.”

Oleh itu, baginya sejarah yang betul perlu diajarkan sekarang kerana selama ini generasi muda disumbatkan dengan maklumat bahawa kemerdekaan hanya bermula dengan penubuhan Umno dan pemimpin parti tersebut bersama gabungannya iaitu MCA dan MIC mendapatkan kemerdekaan daripada Inggeris.

Sedangkan perjuangan berdarah yang panjang sebelum itu tidak dikaitkan langsung dengan kemerdekaan. Akhirnya kemerdekaan digambarkan milik Umno semata-mata.

“Yang kita bimbangkan ialah anak-anak muda mula naik menyampah apabila meraikan merdeka bermakna mereka meraikan kejayaan Umno. Saya nak tegaskan merdeka ini bukan dimonopoli oleh Umno saja, bahkan parti itu melaungkan merdeka setelah parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan,” katanya.

Kita tidak nafikan Umno juga mendapatkan kemerdekaaan secara bertulis di London tetapi kenapa harus dilupakan jasa pencetus kemerdekaan sebenarnya?

Maknanya janganlah dipadamkan sejarah kemerdekaan kerana sejarah perjuangan kemerdekaan bukannya bermula daripada Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman saja. Ramai pejuang-pejuang lain yang berjuang menyabung nyawa menuntut kemerdekaan tetapi seolah-olah dipadamkan daripada sejarah negara.

Alang Ahmad berkata Pertubuhan Kebangsaan Melayu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) serta sayapnya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan lain-lain pertubuhan revolusioner lebih awal lagi berarak menuntut kemerdekaan iaitu pada April 1948 di tengah-tengah bandar Temerloh, Pahang.

Ertinya sejarah tidak boleh ditipu malah sejarah yang sebenar perlu ditulis semula untuk tatapan generasi akan datang.

Seorang generasi muda Hasanal Bolkiah Hasan Basri, 31, turut berpendapat sambutan merdeka tahun ini amat hambar dan malap jika diukur daripada pengibaran bendera.

“Saya bekerja merata-rata dan dapat disaksikan begitu kurang bendera yang dipasang melainkan di pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah, tetapi itu sudah tentu atas arahan. Tetapi jika dilihat kepada individu yang secara sukarela mengibarkan bendera, memang boleh dikira dengan jari saja,” katanya.

Beliau tidak menolak, punca membuatkan rakyat terutama generasi muda merasa tidak ghairah menyambut merdeka ialah kerana kemerdekaan itu sendiri dikaitkan dengan Umno sehingga dianggap tidak perlu menjadi keutamaan.

Tahun lalu, Timbalan Presiden PAS Hjai Mohamad Sabu ketika berceramah di Pulau Pinang pernah mempertikaikan media Umno yang lazimnya menjelang merdeka hanya mengetengahkan beberapa kerat pemimpin daripada Umno tetapi melupakan pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain seperti Burhanuddin Helmy, Ishak Mohamad (Pak Sako), Ibrahim Yaakob, Mat Indera dan lain-lain.

Rupa-rupanya pandangan tersebut telah dieksploitasi secukup-cukupnya oleh media Umno sehingga membawa kepada beberapa siri demonstrasi, laporan polis oleh penyokong Umno dan kes mahkamah terhadap beliau.

Ketika itu Umno yang mempengaruhi bekas perajurit seolah-olah ‘mengisytiharkan perang’ terhadap bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu kerana didakwa menyanjung perjuangan komunis. Sehinggalah baru-baru ini mahkamah mendengar isu mainan media itu sebenarnya palsu.


Kerajaan pula bagaikan tidak pernah serik apabila saban tahun sambutan ulang tahun kemerdekaan negara semakin kurang mendapat sambutan, terutama daripada generasi muda. Ini tidak lain disebabkan kerajaan yang ditulangbelakangkan oleh Umno begitu ghairah mempergunakan tarikh dan acara tersebut untuk kepentingan politik mereka, bukan perjuangan rakyat.

Tahun ini sambutan telah menggunakan slogan 'Janji Ditepati', iaitu slogan yang digunakan pemimpin nombor satu Umno untuk turun berkempen menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 13 ini.

Apakah slogan pilihan Umno itu menggambarkan jerit perih rakyat dahulu untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah? Apakah wujud roh perjuangan kemerdekaan dalam tema tersebut?

Tidakkah menyambut kemerdekaan ertinya mengenang semula sejarah perjuangan bangsa terdahulu yang menggalang-gantikannya dengan nyawa dan darah? Tidakkah hari kemerdekaan bermakna kita meraikan bangsa bermaruah kerana mempunyai pahlawan menuntut kemerdekaan daripada penjajah?

Kenapa tidak mahu mengenepikan kepentingan politik sebentar kerana kemerdekaan adalah milik rakyat bukannya Umno sahaja?

Rasanya belum ada Perdana Menteri selain daripada Najib yang tergamak menukarkan kehebatan hari kemerdekaan negara dengan kempen Umno.

Tidak cukupkah Umno berkempen 24 jam sehari di media-media massa dan elektronik? Tidak cukupkah lagi pentas-pentas rasmi dipergunakan untuk berkempen sehingga terpaksa meletakkannya pada hari kemerdekaan negara?

Jika demikian, ini bukan sambutan hari kemerdekaan tetapi festival Umno yang menggunakan acara negara untuk berkempen PRU.

Jangan hairan selepas ini jika sambutan kemerdekaan tidak akan menjadi kebanggaan generasi muda lagi kerana mereka jelak dan jengkel dengan perangai pemimpin atasan!-Harakahdaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...