Friday, August 10, 2012

Banyak pihak ragui Jawatankuasa Khas royalti

  
              Jawatankuasa Khas bagi pengurusan wang tunai hasil petroleum dianggap sesuatu yang aneh, luar biasa, meragukan dan tidak mempunyai asas undang-undang.
               Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) yang dibentuk daripada gabungan 50 NGO menyifatkan cadangan penubuhan jawatankuasa itu di luar pemikiran rasional dan terdedah manipulasi.

Pengerusi GEGAR, Dr Abdul Halim Yusof berkata, implementasi perjanjian antara Petronas dan negeri-negeri terbabit sudah berjalan bertahun-tahun dengan kaedah yang jelas.


“Tidak ada apa-apa yang perlu dikaji lagi melainkan ada cacat dan cela pada Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang hanya layak dibincang di sidang Parlimen mengikut kaedahnya.

“Kenapa pula perlu melibatkan Terengganu dan Pahang sedangkan negeri terbabit tidak menjadi pihak yang terbabit dalam pertikaian.

“Jawatankuasa Khas itu membayangkan isu utama berkaitan perundangan dan ini sudah merampas hak dan fungsi mahkamah,” katanya di sini.

Pada 2 Ogos lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghantar surat kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mendapatkan nama wakil dari Kelantan bagi menyertai jawatankuasa berkenaan.

Difahamkan juga Kementerian Penerangan mengeluarkan risalah khas menjawab tuntutan rakyat dan kerajaan Kelantan terhadap royalti minyak.

Dr Abdul Halim berkata, kerajaan negeri hanya ada seorang wakil daripada tujuh ahli dalam jawatankuasa berkenaan yang dianggap seperti jawatankuasa timbang tara atau kajian.

Oleh itu katanya Jawtankuasa Khas itu dianggap tidak wajar dan kerajaan negeri perlu mempertimbangkan secara lebih mendalam kerana dibimbangi ada motif yang tidak baik.

“Kerajaan negeri hendaklah meneruskan kes saman seperti difailkan sebelum ini.

“Jawatankuasa Khas tidak lebih seperti jawatankuasa lain termasuk Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen yang tidak mencapai apa-apa tujuan.

“Sebenarnya ia tidak lebih sebagai perangkap bagi mengikat kerajaan negeri terhadap keputusan nanti tanpa ada ruang untuk membuat pilihan,” katanya.

Hujah GEGAR turut dipertahan Pemuda PAS Kelantan dengan mencadangkan kerajaan negeri menolak cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas yang disifatkan hanya membuang masa.

“Ini kerana negeri-negeri lain seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak diberikan wang royalti tanpa melalui apa-apa jawatankuasa,” kata ketuanya Abdul Latiff Abdul Rahman.

Katanya, kerajaan negeri hendak berterusan menuntut pembayaran royalti minyak dengan kadar 5 peratus sebagaimana dipersetujui dalam Perjanjian Petroleum 1975.

Menurutnya juga cadangan penubuhan jawatankuasa khas hanyalah sekadar helah pemimpin Umno ingin melengah-lengahkan bayaran royalti kepada Kelantan.

“Ditambah dengan tempoh 6 bulan yang diberikan kepada jawatankuasa serta tambahan 80 hari dilihat sebagai satu niat yang jelas untuk menangguhkan bayaran sehingga selepas pilihanraya umum ke-13,” katanya di sini.-Harakahdaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...