Kerajaan Barisan Nasional (BN) didapati terlalu fobia dengan warna kuning sejak ia membanjiri seluruh pelusuk Kuala Lumpur (KL) pada Himpunan Bersih 28 April lalu.
Ketakutan itu sangat menyerlah apabila Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar melarang pemakaian baju kuning di himpunan Janji Bersih pada sambutan ambang merdeka pada 30 Ogos nanti.
Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin meminta agar polis tidak perlu terlalu fobia dengan warna kuning kerana mahkamah telahpun mengisytiharkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sah mengikut undang-undang.
“Mahkamah dah putuskan yang tindakan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan baju kuning dan Bersih adalah salah, jadi tak perlulah polis dan kerajaan takut sangat dengan warna itu,” kata Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard.
Beliau turut menempelak Ismail kerana mendakwa, NGO yang terlibat dalam penganjuran Janji Bersih itu mempolitikkan sambutan kemerdekaan.
“Perkara ini patut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dari awal telah mempolitikkan Hari Kebangsaan dengan memilih tema ‘Janji Ditepati’ yang jelas merupakan slogan BN dan menjadikannya sebagai kempen parti mereka,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Chegu Bard berkata, ‘Janji Bersih’ bukanlah program yang diatur untuk menggantikan sambutan ‘countdown’ pada malam itu.
“Kita tak buat program lain, malah kita menjemput semua rakyat datang sama-sama meraikan kemerdekaan, mengira detik dalam semangat supaya kerajaan menunaikan 8 tuntutan Bersih,” jelasnya.
“Perlu diingatkan, menuntut pilihan raya yang adil dan bersih bukanlah politik kepartian, tetapi ia untuk kebaikan negara bagi mengangkat martabat demokrasi di Malaysia,” kata beliau lagi.
Semalam, sidang media diadakan bagi memberitahu tujuan program itu yang diketuai Sasterawan Negara yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor.
26 NGO termasuk SAMM, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) turut menyokong penuh acara yang akan bermula pada jam 10 malam itu.
“Justeru, saya bagi pihak SAMM tetap mengajak seluruh rakyat hadir pada malam itu, sama-sama bergembira meraikan kemerdekaan bersama semangat mahu 8 tuntutan ditunaikan,” kata Chegu Bard lagi.-Keadilandaily
No comments:
Post a Comment