Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu berkata, perkara itu tidak timbul kerana program itu dibuat bersama 26 kelompok NGO yang mahu janji Bersih lalu ditunaikan.
"Memang tidak wujud (mempolitikkan sambutan merdeka), oleh kerana Bersih sendiri itu pun bukan badan politik, apa lagi dengan gabungan badan-badan yang lain.
"Untuk IGP berfikir bahawa ini satu perlawanan oleh Bersih, itu tidak betul," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan di Gombak petang tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar agar gabungan NGO itu tidak mempolitikkan sambutan ambang merdeka dengan berbaju kuning di Dataran Merdeka 30 Ogos ini.
Semalam 26 NGO termasuk Bersih menyatakan hasrat untuk 'menguningkan' Dataran Merdeka dalam program dinamakan "Janji Bersih" bagi menuntut janji kerajaan untuk memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil pada malam ambang merdeka itu nanti.
"Kuning bukan warna yang haram. Kehadiran dengan baju kuning itu hanya simbolik.
"Perjuangan itu untuk menuntut janji bersih (yang belum ditunaikan)," katanya.- Harakahdaily
No comments:
Post a Comment