Friday, August 24, 2012

Melayu jangan kena tipu lagi dan lagi dan lagi -Sakmongkol AK47.


             Saya tidak mahu percaya takdir atau destini orang Melayu ialah mereka kena tipu sepanjang zaman. Inilah dia akibat bersetia dalam mati. Kassim Ahmad semasa dia sibuk bersosialis dahulu ada buat sajak. Bunyinya: Sekian lama kita mati dalam setia. Kali ini kita hidup dalam derhaka.
             Tidak mengapa kalau dia sendiri tidak percaya lagi tentang apa yang dia tulis. Rakyat terutama orang Melayu, kalau mahu kenal erti hidup mesti derhaka.

Kita telah pun menyempurnakan ibadat puasa. Kenalah tahu beberapa iktibar daripada ibadat puasa tersebut. Menahan lapar, dahaga dan menjauhi dari menggauli isteri. Ertinya, melatih diri meninggalkan kebiasaan.


Perkara yang biasa dalam hidup manusia ialah makan, minum dan menggauli isteri. Tuhan suruh tinggalkan kebiasaan-kebiasaan ini. demikian juga, kebiasaan orang Melayu ialah mengundi dan menyokong UMNO. Jadi tinggalkan kebiasaan menyokong UMNO, sokong Pakatan Rakyat.


Hidup orang Melayu tidak ada makna jika asyik menerima sesuatu sebagai sudah termaktub. Jangan sekali-kali membiasakan diri menerima penentuan yang dibuat oleh orang lain. Ini yang UMNO suka buat. Ia menghambakan orang Melayu. Apa istimewa nya mereka? Banyak mana cerdiknya mereka.


Ada termaktub di mana mana, PM Malaysia mesti berbinkan Tun Razak, berbinkan Hussein Onn, berbinkan Mahathir? Tidak ada. Ada disebut dalam mana mana kitab, bahawa semua fkiran yang datang dari Najib mesti ok punya atau terbaik? Janganlah kita taksub sangat dengan pengunggulan sesuatu tokoh. Mereka tidak ada lebih daripada kita dan kita pun tidak kurang daripada mereka.

Orang Melayu mesti membebaskan diri mereka daripada belengu penjara minda. Kita memilih dan mendaulatkan sesearang bukan sebab dia berbinkan sifulan-sifulan - tapi kita angkat pemimpin berdasarkan apa yang dia boleh sumbang dan berdasarkan kelebihan yang dia ada.

Kalau orang Melayu hendak majukan diri mereka mesti membiasakan diri dengan nilai-nilai kejayaan dan pencapaian dan kesewarjagatan (achievement values and universalism) . Apa maknanya istilah-istilah ini?

Maknanya, seperti dalam masyarakat yang lebih maju, semua orang dinilai mengikut apa yang dia boleh lakukan dan bukan mengikut siapa mereka.

Siapa mereka tidak penting lagi. Seorang anak petani yang berwibawa dan ada kemahiran lebih berguna daripada seoarang anak bangsawan yang bodoh. Dalam masyarakat moden dan maju, sesiapa sahaja boleh menawarkan diri untuk apa apa jawatan berbanding hanya ditentukan boleh melakukan kerja-kerja yang ditetapkan oleh masyarakat.

Contoh: orang daripada kasta bawah hanya boleh berkerja sebagai tukang cuci tandas. Walaupun dia ada ijazah kolej atau universiti, disebabkan dia datang daripada keturunan yang tak betul, dia tidak boleh buat keraja yang lebih mulia.

UMNO suka prinsip ini sebab bolehlah mereka menentukan yang jadi PM mesti datang daripada keluarga bangsawan dan elit. Bodoh pun tidak mengapa, keturunan itu yang penting. Itu UMNO. Rakyat menolaknya.

Kalau kita terima asuhan UMNO, orang Melayu akan kekal dalam keadaan feudal. Feudal ertinya, majoriti rakyat akan dihamba abdikan. Elit Melayu turun-temurun akan memerintah Melayu kebanyakan walaupun yang memerintah bodoh dan bebal. Yang di bawah tidak akan dapat naik ke atas, kerana ini ketetapan hidup. Selagi kita tidak mempersoalkan ketetapan sementara ini, maka selama itu kaum Melayu akan tertindas.

Cuba orang Melayu berfikir- apa sebab mereka lebih mundur daripada kaum Cina misalnya? Walhal Melayu dan Cina terdedah kepada cuaca yang sama, kepada persekitaran yang sama. Namun, kaum Cina lebih maju dalam ekonomi berbanding dengan orang Melayu. Apa pasal?

Persekitaran yang sama menghasilkan keputusan yang berlainan? Macam mana boleh jadi begini?

Jawapannya kita dapati dengan membezakan nilai-nilai, motif, serta insitusi sosial dan politik. Orang Melayu mundur sebab institusi politik mereka UMNO. Orang melayu mundur sebab institusi sosial mereka memihak kepada golongan bangsawan dan elit.

Orang Melayu mundur sebab nilai-nilai yang mereka pegang menyekat mereka daripada kebebasan. Yang jadi penyekat sebetulnya ialah UMNO. Umno menjadikan orang Melayu penakut dan sentiasa bergantung kepada UMNO. Itu pasal UMNO mengeksploitasi orang Melayu.

Orang Melayu kalau hendak maju mesti ada semangat Jebat, yakni enggan menerima secara membabi-buta. Kita Melayu mesti ada budaya enggan menerima sesuatu sebagai sudah termaktub. Kebiasaan mencabar sesuatu kedudukan, pandangan akan melahirkan Melayu yang teruji, tahan lasak, robust dan rugged. Dengan cara ini timbul Melayu yang ada jatidiri dan tidak takut untuk bersaing.

Tapi Melayu sentiasa ditipu oleh UMNO, itulah yang terjadi. Pimpinan untuk bangsa Melayu ini bagus setakat Hussein Onn sahaja. Mulai Dr Mahathir- nasib orang Melayu menjadi lebih teruk.

Memang benar kita ada pembangunan fizikal yang menakjubkan- tapi nikmat merasai pembangunan tersebut lebih untuk orang Melayu yang terpilih, dipilih oleh Mahathir. Nikmat kemajuan dan pembangunan dirasai lebih oleh kaum lain yang mempunyai kuasa ekonomi. Rakyat terbanyak terus bergantung kepada kerajaan. Bergantung maknanya mereka tidak merdeka dan tidak ada pilihan.

Selama 22 tahun di bawah pemerintahan Mahathir, 6 tahun di bawah Pak Lah dan sekarang di bawah Najib, demikianlah nasib orang Melayu. Ya- najib pun tipu orang Melayu. Rakan baik dia semua tauke Cina tapi dia biarkan UMNO menghasut orang Melayu berkelahi dengan orang Cina dan India.

Asyik kena tipu. Ingatlah pengajaran berpuasa. Meninggalkan kebiasaan. Tinggalkan kebiasaan menyokong UMNO.

Ariff Sabri (Sakmongkol AK47)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...