Thursday, August 16, 2012

R desak JPM keluar laporan kewangan wang ehsan


              Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini mengeluarkan iklan khas bagi menjelaskan ke mana wang ehsan dibelanjakan yang berjumlah RM61.8 juta sehingga 31 Julai 2012.
              Berdasar kepada iklan yang disiarkan dua akhbar harian daripada jumlah tersebut agihan yang dibuat sebanyak RM41.4 juta. Ini bermakna sebanyak RM20.4 juta belum lagi diagih.

Iklan khas tersebut dikeluarkan kemugkinan menjawab surat dan memorandum dihantar anak-anak muda yang bernaung di bawah Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti – R) baru-baru ini.

Presiden R, Nazri Deraman (gambar atas) berkata, sepatutnya pihak terbabit menjawab secara rasmi surat dihantar R mengenai laporan kewangan yang diaudit pada 2010, 2011 dan sehingga 31 Julai 2012.


“Biar pun penjelasan diberi namun masih menimbulkan banyak keraguan di mana kemungkinan penerima yang tidak disebut dalam iklan menjadi sasaran untuk mendapatkan wang ehsan.

“Ini kerana banyak agihan wang ehsan dilaporkan media sebelum ini dibuat melalui Ketua-ketua Bahagian Umno. Lagi pun Pengerusi Jawatankuasa Wang Ehsan ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin,” katanya di sini.

Menurutnya berdasar kepada senario pengagihan wang ehsan sebelum ini ternyata Umno terbabit secara langsung.

“Jadi kami anak muda mahu tahu siapakah penerima sebenar wang ehsan tersebut dan bagaimana pemilihannya dibuat.

“Selain itu kenapa Awang Adek dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa Wang Ehsan dan bukan Pengarah JPP Kelantan,” katanya.

Nazri juga berkata, persoalan juga timbul di mana sebelum ini Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan wang ehsan diterima sebanyak RM61.8 juta.

Sedangkan katanya, Awang Adek pula umumkan melalui kenyataan media wang ehsan diterima sebanyak RM24 juta setahun, dan ini bermakna berjumlah RM72 juta sejak 2010.

“Jadi ke mana perginya lebih RM10 juta lagi. Kami khuatir berlaku ketirisan atau kebocoran. Inilah rakyat Kelantan hendak tahu,” kata Nazri.

Sehubungan itu katanya, sekiranya pihak terbabit tidak menjawab secara telus penerimaan dan agihan wang ehsan, pihaknya akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat ini.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...