Aktivis gerakan Asal Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim menjelaskan, fokus utama kini adalah menumbangkan pentadbiran Umno-BN di Putrajaya bagi membolehkan negara menyaksikan pemerintah baru.
Akan tetapi, perkara sama juga akan dibuat jika pemerintah baru gagal memenuhi aspirasi rakyat.
“Kita sudah bertekad dalam PRU-13 (pilihanraya ke-13) Umno akan ditumbangkan. Satu kerajaan baru akan ditubuhkan di Putrajaya.
Objektif gerakan itu, iaitu untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional, dikritik kerana ia seolah-olah hanya tertumpu kepada kesalahan parti itu tetapi membisu terhadap keburukkan parti lain.
“Kalau kerajaan itu tidak telus dan ikhlas, yang penting rakyat akan belajar daripada PRU-13, kuasa bersama dengan rakyat,” ujar Haris.
“Kalau hari ini kita tumbangkan Umno, esok mana-mana kerajaan yang bertempat di Putrajaya kalau tidak mentadbir secara terbuka, rakyat boleh tumbangkan,” tegasnya dalam program wawancara Terus Terang terbitan TV Selangor baru baru ini.
ABU mula dilancarkan pada 15 Disember 2011 dengan memberi fokus terhadap empat kepincangan pemerintahan Umno-BN iaitu kenaikan harga barang, undang-undang zalim, politik perkauman dan pembinaan loji nadir bumi Lynas.
Ujar beliau lagi, ABU sama sekali tidak pernah menentang pembela hak orang Melayu.
Sebaliknya ABU menentang pihak yang sekian lama berselindung di belakang slogan ‘kita membela hak orang Melayu’ namun merompak dana kekayaan negara.
“Orang kena faham ABU bukannya perjuangan kaum, ini adalah perjuangan rakyat yang selama ini tertindas, miskin dan ketinggalan.
“Walaupun kononnya Mahathir (bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed) mengatakan Malaysia pada 2020 akan menjadi negara membangun walhal rakyat masih ketinggalan.
“Kita menentang Umno bukan sebab kononnya Umno membela hak Melayu. Umno bersama kroni-kroni sudah sekian lama rampas kekayaan negara. Kita bukan menentang hak mana-mana kaum,” ujar Haris.-Selangorku.
No comments:
Post a Comment