Sunday, August 26, 2012

Hudud dan keterdesakan politik Umno


Percubaan terkini UMNO menyemai sentimen perkauman dan kesangsian agama seperti yang dipaparkan menerusi permainan isu Hudud dan Negara Islam di dalam media-media kawalan UMNO sekali lagi membuktikan gejala politik melulu yang membudaya di kalangan mereka. Percubaan keji bersifat ugutan dan hasutan bertujuan membangkitkan persengketaan agama dan etnik merupakan langkah terdesak untuk mengalih perhatian rakyat dari isu-isu berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Tidak kira bagaimana sesuatu isu itu diputarbelit oleh media kawalan UMNO, kami dalam Pakatan Rakyat kekal komited terhadap prinsip asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan; kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan manakala pada masa sama menjamin kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni;
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan kebebasan untuk menggunakan bahasa ibunda pelbagai kaum; kedaulatan raja-raja Melayu berserta kedudukan hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera dan hak-hak kaum lain seperti yang dilindungi oleh Perlembagaan.

Dasar bersama Pakatan Rakyat dan Buku Jingga tetap kekal sebagai pernyataan rasmi kami tentang kebijakan dan prinsip tadbir urus kami. Marilah kita mengekalkan tumpuan terhadap agenda perubahan. Kita seharusnya perlu terus komited dalam meningkatkan daya saing negara, nilai pendapatan rakyat, mutu pendidikan dan kesihatan serta peningkatan kos hidup yang semakin membebankan rakyat.

Berkaitan persoalan Shariah, Hudud dan Negara Islam, kami mengiktiraf serta menghormati perbezaan pandangan dan kedudukan parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat. Ini mencerminkan penerimaan kami terhadap amalan konsensus politik. Sebagai seorang Muslim, saya tetap meyakini al-Quran dan Sunnah; dua asas yang membangunkan prinsip-prinsip Shariah. Saya percaya bahawa Maqasid al-Shariah adalah prinsip penting dalam tadbir urus dan tidak bercanggah dengan amalan demokrasi.

Dalam hal ini, Pakatan Rakyat akan kekal berpandukan prinsip-prinsip berteraskan keadilan sejagat, tadbir urus yang baik, kebertanggunjawaban, ketelusan dan keberdayaan dalam usaha memberikan yang terbaik buat rakyat.

Kita tak seharusnya terpengaruh dengan keterdesakan politik serta ugutan oleh UMNO-BN. Keyakinan dan kepercayaan sewajarnya diletakkan terhadap kematangan dan kebijaksaan rakyat untuk menilai dan membuat pilihan mereka sendiri.-Hrkhdaily

Anwar Ibrahim ialah Ketua Pembangkang Malaysia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...