Wednesday, August 22, 2012

Perpaduan bersama Umno buang masa

  
              PAS menyifatkan seruan pihak tertentu agar bersama Umno untuk menjamin perpaduan rakyat khususnya Melayu di negara ini hanya sebagai membuang masa.
               Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, rekod dan sejarah telah membuktikan bahawa Umno telah gagal menunjukkan perpaduan termasuk dalam parti itu sendiri.

Menurutnya, Parti Negara, Parti Semangat 46 dan Parti Keadilan semuanya ditubuhkan oleh mereka yang pernah memimpin Umno.

Malahan golongan agama di dalam Umno menubuhkan PAS kerana tidak puas hati dengan Umno dalam isu judi, apabila suara ulamak diketepikan begitu sahaja.


Tetapi katanya, Umno sampai sekarang masih menganggap mereka adalah parti keramat yang menjadi rukun perpaduan Melayu, walaupun rekodnya dipenuhi dengan perpecahan.

"Setiap kali menjelang pilihanraya maka suara perpaduan Melayu akan berkumandang di udara. Kayu ukur perpaduan, mesti bersama Umno. Jika luar daripada Umno, perpaduan tidak akan tercapai. Seolah-olah bersatu dengan Umno adalah rukun perpaduan Melayu.

"Umno sering mendakwa penubuhan PAS menyebabkan orang Melayu berpecah. Padahal sebelum Umno ditubuhkan 1946 sudah ada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 yang tidak bersedia menjadi tali barut penjajah seperti Umno," katanya.

Oleh kerana itu katanya seruan perpaduan bersama Umno hanya membuang masa apatah lagi perpaduan atas dasar bangsa yang tidak kekal lama.

Menurut Idris lagi, perpaduan atas dasar bangsa ibarat api dalam sekam dan akan berakhir dengan perpecahan.

Hanya perpaduan atas dasar Islam sahaja ujarnya yang akan mengenepikan perasuah, penzina, perampas harta rakyat dan pengkianat amanah rakyat walaupun sesama bangsa.

"Atas asas ini, perpaduan akan dapat diwujudkan, jika tidak ia hanya perpaduan palsu yang hanya retak menunggu pecah sahaja.

"Umno hanya boleh disatukan dengan benda sahaja, bukannya atas kesedaran ideologi. Mampukah Umno bertahan jika sudah kehilangan kuasa kerana tidak boleh memberi benda," soalnya.-Harakahdaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...