Apabila sambutan kemerdekaan dijadikan modal politik dan propaganda parti, maka ia telah memberi kesan buruk kepada negara, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.
Tegasnya, kemerdekaan adalah milik semua rakyat, bukan milik mana-mana kelompok.
“Menjelang sambutan kemerdekaan, rakyat menjadi keliru, sama ada menyambut ulang tahun Umno atau ulang tahun kemerdekaan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Ini, ujarnya kerana gambar yang dipaparkan di media dan papan tanda ialah gambar Presiden Umno, bukan gambar pejuang kemerdekaan negara yang melawan penjajah, sama ada dari puak kanan atau puak kiri.
Beliau berkata, rakyat tertanya-tanya mana tokoh Dr Burhanudin Al-Helmi, Ahmad Boestaman, Ibrahim Yaakob, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan tokoh-tokoh yang lain.
“Sedangkan tokoh-tokoh ini membeli kemerdekaan dengan harga yang mahal, sehingga terpaksa merengkok di dalam penjara, bukan seperti mana pemimpin Umno yang menyambut kemerdekaan dengan dulang emas.
“Kita boleh saksikan saranan kerajaan supaya rakyat mengibar bendera menjadi hambar, seolah-olah tarikh kemerdekaan 31 Ogos menjadi sejuk di paras beku,” ujarnya.
Menurutnya, macam mana rakyat hendak merasakan patriotik, anggapan mereka seolah-olah menyambut ulang tahun kelahiran Umno.
Ini, ujarnya ditambah pula dengan tema Hari Kemerdekaan “Janji Ditepati” yang memang jelas untuk menjadi modal kempen menjelang pilihan raya.
“Dengan tema ini rakyat yang selama ini sudah benci dengan Umno BN, menambahkan lagi kebencian,” katanya lagi.
Akhirnya, kata Idris mereka telah membuat protes secara senyap, iaitu tidak mengibar bendera.
Ini, ujar beliau boleh dilihat sepanjang perjalanan ke lebuh raya selama tiga jam, 100 buah kenderaan yang melaluinya, agak sukar kita melihat sebuah yang mengibar bendera di kenderaan mereka.
“Kenapa terjadi demikian?
“Jawapannya bukan rakyat tidak sayang kepada kemerdekaan negara, tetapi rakyat sudah benci dengan pemimpin yang mengendalikan program sambutan kemerdekaan negara,” katanya.-Harakahdaily
No comments:
Post a Comment