Monday, August 27, 2012

Jangan perdagangkan wakil rakyat macam lembu – Lim Guan Eng


Penentangan UMNO-BN terhadap cadangan pindaan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang untuk mengharamkan gejala lompat parti oleh wakil rakyat disifatkan sebagai sebuah amalan pecah amanah terhadap mandat yang diberikan rakyat.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang; Lim Guan Eng, BN dilihat menentang keras cadangan ini kerana ia akan menghalang mereka dari memperdagangkan wakil rakyat.

“Tentangan BN ini kita sudah duga dari awal lagi,” kata beliau kepada pemberita dalam sebuah sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.

“Kita tidak mahu wakil rakyat melompat kerana dibeli. Adakah kita mahu melihat wakil rakyat yang dipilih diperdagangkan seperti lembu?” soalnya.


“Sekiranya seseorang wakil rakyat itu melompat parti maka mereka juga harus meletak jawatan dan perlu dipilih semula melalui pilihanraya.” ujar beliau, sambil menambah bahawa cadangan tersebut tidak akan menghalang mana-mana individu bertukar-tukar parti kerana itu hak yang dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan itu menyifatkan budaya lompat parti di kalangan wakil rakyat bukanlah budaya demokrasi yang baik dan mengkhianati mandat rakyat yang memilih calon atas tiket parti politik dan bukan sebagai calon persendirian.

Menurut Guan Eng, undang-undang sedia ada menghalang wakil rakyat yang mengosongkan kerusinya kerana melompat parti untuk bertanding demi mendapat mandat baru melalui pilihanraya kecil. Cadangan yang diutarakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertujuan bagi membolehkan perkara tersebut dilaksanakan.

Sekirnya cadangan pindaan Perlembagaan Negeri untuk mengharamkan lompat parti ini mendapat sokongan EXCO negeri, ia akan menjadi sebuah budaya baru yang sihat. “Kita lihat, kita akan mulakan budaya baik ini di Pulau Pinang dahulu,” ujar beliau, yang juga Setiausaha Agung DAP. – Roketkini.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...