Umno-BN Takut Kuasa Mahasiswa Tahan Tiga Pemimpin Pelajar
Tidak mampu berdepan dengan desakan golongan mahasiswa yang membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula, kerajaan Umno-BN bertindak menangkap tiga daripada kira-kira 100 pelajar universiti yang berhimpun di depan Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum kepada Datuk Seri Najib Razak tengahari tadi.
Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman, pemimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Shukri Abdul Razak, serta pelajar Universiti Malaya, Mohd Shahruldeen Ahmad Rosli ditahan selepas mereka menyertai perhimpunan di luar Masjid Putrajaya menuju ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sambil memakai pakaian serba hitam kumpulan pelajat tersebut melaungkan slogan "Kuasa Mahasiswa" ketika berkumpul di hadapan masjid di Putrajaya itu.
Pihak polis bagaimanapun memberi amaran supaya mereka bersurai atau mengambil risiko ditangkap.
Bagaimanapun setelah berunding pihak polis membenarkan lima wakil pelajar menuju ke JPM untuk menyerahkan memorandum mereka.
Golongan mahasiswa membantah serta merasa kesal terhadap tindakan kerajaan Umno-BN yang menaikkan harga 4 dalam 1 barangan keperluan rakyat minggu lalu.
Mereka mendesak gaji menteri disemak semula dan dikurangkan bagi mengurangkan kos pengurusan dan perkhidmatan awam serta menuntut dikembalikan semula subsidi barangan yang telah dipotong termasuk penurunan harga barangan asas.
Memorandum diserahkan oleh presiden Gamis Ahmad Syazwan Hassan kepada wakil JPM Datuk Abdul Moin Omar.
Kenaikan itu melibatkan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi RM2.10 sen.
Ridzuan ditahan ketika meminta kebenaran berucap setelah menyerahkan memorandum tersebut pada kira-kira pukul 2.15 petang.
Ridzuan dan Shukri di bawa ke ibu pejabat polis (IPD) Putrajaya sementara Mohd Shahruldeen ditahan di hadapan IPD Putrajaya.-S/Keadilan
Setelah Membaca artikel ini, sila beri sedikit komen dan ulasan anda - Martoiriat
No comments:
Post a Comment