Saturday, December 4, 2010

Konsep "Ketuanan Melayu" Telah Digunakan Oleh Golongan Elit Umno Untuk Memperkayakan Diri Sendiri

Dr Wan Azizah Menyerang Titik Lemah Umno - Kim Quek


Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seperti menyerang di titik lemah Umno apabila beliau secara rasmi mengecam ‘Ketuanan Melayu’ sebagai ideologi palsu yang menopang Umno selama bertahun-tahun yang lalu.

Ketika menyampaikan ucapan dasar dalam persidangan tahunan parti pada 27 November lalu, beliau mengatakan konsep ketuanan Melayu telah digunakan oleh segelitir elit Umno untuk membohongi orang Melayu demi memperkayakan diri sendiri dan mengekalkan kuasa politik mereka. Akibatnya, majoriti orang Melayu dan Bumiputera terus berada di dalam kemiskinan miskin dan terabai meskipun Umno sudah berkuasa selama 53 tahun.

Beliau menyeru orang-orang Melayu untuk menolak ideologi ini, dan berkata: “Konsep Ketuanan Melayu harus dilupakan agar anak-anak kita dapat membesar bersama visi bangsa bermaruah.”

Mengikut apa jua pertimbangan demokratik, seruan Dr Wan Azizah agar sentimen perkauman ini ditinggalkan, harus diraikan sebagai suara rasional yang selari dengan nilai-nilai asas yang dipegang masyarakat dunia.


Lagi pun, bukankah negara terakhir yang mempraktiskan institusi perkauman - Afrika Selatan – sudah pun meninggalkan dasar perkaumannya dua puluh tahun yang lalu? Walaupun Malaysia umumnya terlepas dari menerima kecaman dunia seperti yang dikenakan ke atas regim aparteid Afrika Selatan – kerana kerajaan Barisan Nasional bijak menggilap imej – namun isu perkauman tetap menjadi barah yang merosak integrasi nasional dan merencat pertumbuhan ekonomi.

Ketuanan Melayu tidak boleh dipertahankan

Mungkin kerana menyedari ‘konsep Ketuanan Melayu’ ini tidak dapat dipertahankan lagi di mata dunia, Umno kebingungan tentang cara untuk menanggani serangan berdepan yang tidak diduga daripada Dr Wan Azizah.

Berdiam diri bererti setuju dengan kenyataan Dr Wan Azizah, dan ini akan mencetuskan masalah besar. Ini kerana, melalui provokasi terhadap naluri tabi’i kaum inilah harapan Umno untuk meraih sesuatu dalam pilihanraya nasional akan datang. Jadi, bagaimana Umno boleh meninggalkan ‘Ketuanan Melayu’?

Di sisi lain, mempertahankan ideologi tersebut akan mengundang cemuhan dan kecaman dari seluruh dunia. Lebih-lebih lagi, mengingatkan lambakan peralatan canggih komunikasi moden yang terus menerus memancarkan berita dan laporan, maka tindakbalas antarabangsa tentunya pantas dan menggugat.

Maka, sejenak selepas tersedar daripada tindakan mengejut Dr Wan Azizah itu, reaksi balas mula dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi Umno, tetapi semuanya samada tersasar atau tidak relevan, dan tidak ada yang berani untuk menjawab hujah Wan Azizah.

Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Dr Wan Azizah sebagai usaha ‘untuk menyelamatkan kapal yang sedang karam’, bagi mendapatkan kembali sokongan rakyat selepas pemilihan parti yang memecah-belahkan. Bagaimana dengan isu Ketuanan tersebut? Tidak ada hujah sanggahan.

Naib Presiden Umno dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi pula berkata, Dr Wan Azizah ‘cuba mengalihkan perhatian rakyat dari masalah serius parti.’ Beliau mendakwa PKR ingin memenangi hati orang-orang Cina dan India bagi meraih sokongan mereka dalam pilihanraya umum akan datang. Sekali lagi, beliau mengelak untuk menyentuh isu Ketuanan tersebut.

Seperti dijangka, tugas untuk menyerang balas secara rakus diserahkan kepada sayap pelampau perkauman Umno, Perkasa. Pemimpin pemudanya, Arman Adha Abu Hanifah menyerang Azizah sebagai ‘pelacur politik’. Beliau mengatakan Wan Azizah dan para pemimpin Melayu PKR terhutang budi dalam pencapaian profesional mereka kepada dasar ‘Ketuanan Melayu’ tersebut, dan sekarang mereka mengkhianati bangsa sendiri demi meraih sokongan kaum Cina dan India.

Menariknya, sikap buruk Arman dan herdikan tidak bertanggungjawabnya terhadap pemimpin-pemimpin Melayu yang lain, bagaikan mengiyakan saranan Dr Wan Azizah agar mentaliti ‘Ketuanan’ tersebut ditinggalkan, demi memulihkan kembali martabat bangsa. Perbuatannya memanggil seorang pemimpin nasional yang dihormati sebagai ‘pelacur’ bukan sahaja menjijikkan, malah andaiannya bahawa orang-orang Melayu tidak mampu mencapai kejayaan melainkan mereka didokong menerusi dasar pilih-kasih perkauman, memalukan bangsa ini. Herdikan kasar Arman ini, tanpa disedari telah menjadikannya contoh terbaik dari buah busuk yang dilahirkan melalui ‘Ketuanan Melayu’.

Namun, ibu di dalam episod ini, tidak diragukan lagi adalah teori yang diberikan oleh anggota Kabinet Umno yang lantang, Datuk Seri Nazri ketika menangkis kritikan Dr Wan Azizah. Beliau mengatakan ‘Ketuanan Melayu’ bukan mengenai bangsa Melayu, tetapi mengenai raja-raja Melayu. Beliau berkata, ungkapan ini dicipta untuk melindungi kedaulatan Raja-raja Melayu, bukannya untuk menekankan keagongan kaum.

Melihat bukti perkauman

Ketika Nazri mungkin menganggap dirinya pintar dengan mengeluarkan tafsiran baru untuk lepas dari perangkap ‘Ketuanan’ ini, namun ianya rapuh. Teras hegemoni Umno adalah ideologi perkaumannya yang menawan penyokong tegarnya, dan ‘Ketuanan Melayu’ telah disemat bagi melambangkan keagongan Melayu. Melalui penanaman dan pelaksanaan ideologi ini, Umno mampu menang dari satu demi satu pilihanraya; dan Umno tidak akan menyerah atas alasan apa sekali pun.

Kenyataan Umno mempraktikkan perkauman melampau tergambar dalam dasar me-Melayu-kan (Malay-nisation) secara bertahap dan berterusan seluruh jentera kerajaan sejak rusuhan kaum 1969, sehingga ia hampir menjadi entiti satu-bangsa. Ini melibatkan kakitangan awam, tentera, polis, badan kehakiman, pejabat peguam negara, suruhanjaya pilihanraya, suruhanjaya anti-rasuah, majlis perundangan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Para pekerja yang dibiayai melalui dana awam ini bukan sahaja hampir keseluruhannya Melayu, tetapi ditanam dengan doktrin untuk patuh kepada Umno, dan memusuhi lawan-lawan politiknya, termasuk dari kalangan Melayu.

Jika Nazri bertegas beliau di pihak benar, beliau boleh menguji tafsirannya dengan bertanya kepada rakan-rakan anggota kabinet Umno, apakah mereka juga bersetuju bahawa ‘Ketuanan Melayu’ bukan mengenai dominasi atau kuasa Melayu, tetapi mengenai raja-raja Melayu. Saya yakin tidak ada seorang pun yang bersetuju.

Jika Umno menyangkal ia berpegang dengan dasar perkauman ‘Ketuanan Melayu’ ini sebagai teras ideologinya, ia harus menjelaskan alasan bagi tingkah-laku perkaumannya yang berterusan dan menjawab soalan-soalan berikut:

• Apabila MB Pakatan Rakyat Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mencadangkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang kini bersifat satu-bangsa membuka 10 peratus pengambilan pelajar kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing, kenapa para pemimpin tertinggi Umno termasuk, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin mengecam Khalid Ibrahim sebagai ‘pengkhianat yang menggadai hak-hak keistimewaan Melayu’?

• Apabila pengurus besar PKNS, milik negeri Selangor bersara pada akhir 2008, Khalid Ibrahim ingin melantik timbalan pengurus besar, Wong Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar. Kenapa Umno dan kakitangan PKNS memprotes perlantikan tersebut atas alasan kaumnya, jika Umno tidak bersifat perkauman?

• Ketika kerajaan negeri Perak yang berada di bawah Pakatan Rakyat pada tahun 2008 ingin memberikan geran tanah kepada golongan miskin dari semua kaum yang sudah lama mendiami tanah tersebut (majoriti adalah Melayu), kenapa pemimpin-pemimpin Umno mengkritik tindakan memberi geran tanah kepada bukan Melayu ini sebagai pengkhianatan terhadap kepentingan Melayu?

Para pemerhati politik seharusnya tidak merasa sulit untuk menangkap ideologi perkauman Umno ini sebagai punca bahana politik, sosial dan ekonomi yang telah menyebabkan negara ini tergelincir teruk berbanding jiran-jiran serantaunya.

Namun, usaha politik yang besar masih diperlukan bagi parti politik seperti PKR untuk mengambil langkah berani berterus terang dan mendedahkan pembohongan rasis Umno.

Ini kerana, langkah ini dipenuhi risiko yang boleh menjauhkan kumpulan pengundi terbesar – orang Melayu – memandangkan Umno akan melompat bagi menghebahkan media massa negara, yang sepenuhnya berada di bawah telunjuknya, untuk memalitkan keburukan maksimum di atas niat jujur PKR bagi menyelamatkan negara ini.

Untuk itu, semua rakyat Malaysia yang patriotik, bukan sahaja perlu memuji Dr Wan Azizah di atas keberaniannya ini, tetapi mereka juga harus memberi sokongan sepenuh hati untuk membolehkan beliau melaksanakan misi mulianya.-TVSNews


Setelah membaca artikel ini, sila beri sedikit komen dan ulasan anda - Martoiriat 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...