Friday, December 3, 2010

Bantah Kenaikan Air, Pakatan Rakyat Menyeru Rakyat Selangor Keluar Menyertai Perarakan



Memo Air Serah Kepada Agong


Pakatan Rakyat menyeru rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur keluar menyertai perarakan bersama-sama Menteri Besar Selangor menyerahkan memorandum bantahan kenaikan tarif air kepada Yang dipertuan Agong di Istana Negara, Ahad ini.

100 ribu rakyat Selangor telah menandatangani memorandum membantah kenaikan tarif 37 peratus yang akan diserahkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Sultan Mizan Zainal Abidin selepas perarakan yang bermula dari Masjid Negara jam 12 tengahari.

"Ini adalah perhimpunan menyatakan pendirian warga selangor dan Wilayah Persekutuan terhadap satu aset awam yang perkosa sesetengah pihak untuk keuntungan. Apa yang kerajaan PR Selangor cuba lakukan ialah kembalikan semula hak ini sebagai satu aset awam kemudahan untuk rakyat jelata," kata Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.


Beliau berkata Syabas termasuk kerajaan persekutuan telah menggunakan pelbagai kaedah untuk menghalang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mendapatkan hak air selama dua tahun.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika sidang media turut menyuarakan jalan terakhir kerajaan negeri menggunakan suara rakyat mengembalikan hak kerajaan negeri itu.

"Kerajaan negeri Selangor telah cuba buat semua yang sepatutnya dilakukan. Telah cuba berunding dengan Syabas, sudah membuat tawaran RM5.7 billion, sudah cuba berunding dengan kerajaan pusat. Tapi atas sebab-sebab kepentingan politik maka semua usaha kerajaan negeri Selangor digagalkan. Maka akhirnya kita tidak ada pilihan hanya kita perlu zahirkan sokongan rakyat terhadap usaha untuk membatalkan penswastaaan dan mengembalikan aset negeri Selangor kepada kerajaan negeri," kata beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyentuh mengenai tabung Budi di bawah Syabas berkata, ianya amat mengelirukan rakyat.

"Apa yang Syabas buat, mereka pergi ke rumah-rumah, kalau mereka mahu derma air itu sebanyak RM11.40 yang dikatakan akan diberikan kepada rumah yang tidak dapat air percuma.

"Tapi persoalannya wang itu dibayar oleh Kerajaan Selangor. tetapi sekarang Syabas kata ini dalam rangka Tanggung Sosial Korporat mereka. Tapi tindakan mereka ini mengelirukan rakyat," kata beliau pada sidang media yang sama.

Menurut Charles lagi, Syabas kelihatan lebih tertekan apabila tetap berdegil tidak akan memberhentikan kegiatan mereka walaupun menyedari perbuatan tersebut salah kerana menggunakan wang kerajaan negeri.

Dalam pada itu, program anjuran kerajaan negeri Selangor itu dijangka akan bertembung dengan sebuah kumpulan pro Umno Selangor yang menggelar diri mereka sebagai Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) akan menyerahkan memorandom kepada Yang dipertuan Agong 'bukti penyelewengan 30 perkara' di negeri itu.

Antaranya termasuk isu pembelian hutang syarikat Talam Corporation, penutupan Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) dan 'kegagalan' mengutip hasil pasir seperti yang dijanjikan.-TVSNews


Setelah membaca artikel ini, sila beri sedikit komen dan ulasan anda -Martoiriat

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...