Saturday, December 25, 2010

DUN Tenang : 22 Jan Penamaan, 30 Jan Pengundian

Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, di Labis, Johor ditetapkan pada 30 Januari (Ahad) depan.

Manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Januari , (Sabtu) kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.(gambar)

Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha .

Sulaiman meninggal dunia di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur selepas berada dalam kritikal selama 24 hari akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), Allahyarham menewaskan Mohd. Saim dengan majoriti 2,492 undi.


Abdul Aziz berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Beliau berkata terdapat 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pengundi pos, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.

Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).

Abdul Aziz berkata SPR akan menggunakan pejabat Majlis Daerah Labis sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

"Sebanyak sembilan buah sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 32 saluran tempat mengundi. Seramai 376 petugas akan terlibat dalam pilihan raya kecil ini, " katanya.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kecil Labis Md Asri Amir dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan.

Abdul Aziz berkata tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akan ditubuhkan, yang diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan,bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang lapan hari tempoh rasmi berkempen.

Kira-kira RM1.1 juta diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 diadakan, yang telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 juta.-TVSNews


Setelah membaca artikel ini, sila beri sedikit komen dan ulasan anda - Martoiriat

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...