
Umno-BN Takut Kuasa Mahasiswa Tahan Tiga Pemimpin Pelajar
Tidak mampu berdepan dengan desakan golongan mahasiswa yang membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula, kerajaan Umno-BN bertindak menangkap tiga daripada kira-kira 100 pelajar universiti yang berhimpun di depan Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum kepada Datuk Seri Najib Razak tengahari tadi.
Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman, pemimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Shukri Abdul Razak, serta pelajar Universiti Malaya, Mohd Shahruldeen Ahmad Rosli ditahan selepas mereka menyertai perhimpunan di luar Masjid Putrajaya menuju ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Sambil memakai pakaian serba hitam kumpulan pelajat tersebut melaungkan slogan "Kuasa Mahasiswa" ketika berkumpul di hadapan masjid di Putrajaya itu.
Pihak polis bagaimanapun memberi amaran supaya mereka bersurai atau mengambil risiko ditangkap.
Bagaimanapun setelah berunding pihak polis membenarkan lima wakil pelajar menuju ke JPM untuk menyerahkan memorandum mereka.
Golongan mahasiswa membantah serta merasa kesal terhadap tindakan kerajaan Umno-BN yang menaikkan harga 4 dalam 1 barangan keperluan rakyat minggu lalu.