Friday, November 11, 2011

Zuraida: Ada pendedahan lebih besar dari skandal Fidlot


                 KEADILAN memberi kata dua kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil samada meletakkan jawatan atau beberapa bukti penyelewengan yang lebih besar membabitkannya didedahkan.
                Peringatan itu dibuat Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin kepada Shahrizat ekoran gagal menjawab skandal National Feedlot Corporation (NFC) melibatkan keluarganya.

Sebaliknya kata Zuraida, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno bertindak menyerang peribadi beliau tanpa menjawab penyelewengan wang rakyat sebanyak RM250 juta itu.

“Tindakan terhormat perlu diambil Datuk Seri Shahrizat Jalil adalah mengumum perletakan jawatan dari kerajaan dan berundur dari politik serta merta kerana KEADILAN masih ada beberapa bukti penyelewengan lebih besar yang belum didedahkan,” katanya dalam satu kenyataan.


Semalam, media melaporkan menteri pembangunan wanita keluarga dan masyarakat itu menyerang peribadi Zuraida dalam sebuah majlis dan pada masa enggan menjawab skandal Fidlot melibatkan beliau dan keluarganya.

“Isu pokok yang perlu diperhatikan adalah soal pertanggungjawaban wang rakyat sebanyak RM250 juta diberi kepada syarikat milik keluarga beliau walaupun prestasinya tidak menepati sasaran.

“Ia menyentuh nasib ribuan petani dan penternak yang lebih memerlukan bantuan dana kerajaan berbanding syarikat keluarga beliau,” tegas Ahli Parlimen Ampang itu.

Menurutnya, Skandal NFC membabitkan Shahrizat , menyentuh soal tata kelola kewangan negara yang lemah dengan wang rakyat dibazir sewenangnya.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat dan seorang pemimpin wanita untuk membawa isu ini supaya sebarang penyelewengan dapat dihentikan segera.

“Saya langsung tidak mempunyai motif peribadi, saya hanya melaksanakan amanah yang dipikul,” katanya.
Oleh itu, katanya, beliau berharap Shahrizat tampil segera menjawab isu itu dan bukan membiarkan pemimpin BN lain menjawabnya.-K/Daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...