Friday, November 25, 2011

Mansuh Ordinan Darurat tiada makna kepada rakyat


              Pemansuhan Ordinan Darurat yang diusulkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, tidak boleh diterima oleh PAS dan Pakatan Rakyat.
             Penolakan tersebut dibuat memandangkan pemansuhan ordinan itu tidak memberikan makna kepada rakyat kerana ia masih mengekalkan kuasa kepada Kerajaan Pusat untuk mengisytiharkan darurat di negeri-negeri dan negara ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, realiti itu berlaku apabila pemansuhan tersebut tidak turut sama menarik balik fasal-fasal yang melibatkan perlanggaran kuasa oleh Kerajaan Pusat.


Menurut beliau, fasal-fasal tersebut terutamanya Fasal 149 dan 150 ordinan itu yang jelas memberikan kuasa kepada Kerajaan Pusat untuk mengisythirkan darurat terhadap sesebuah negeri di negara ini yang tidak pun dimansuhkan.

Katanya, pada hal kedua-dua fasal itu sebelum ini telah pun dipinda sebanyak 6 kali, tetapi masih tetap juga tidak dimansuhkan kuasa darurat yang diberikan kepada kerajaan.

"Dengan itu, Kerajaan Pusat tetap mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat terhadap sesebuah negeri yang tidak berada di bawah BN untuk membolehkan parti itu terus berkuasa," katanya ketika berucap membahaskan pemansuhan Ordinan Darurat pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Tindakan tersebut, menurut beliau, jelas merupakan satu bentuk perlanggaran kuasa dan pihak pembangkang tidak boleh menerima sekali-kali pengisytiharan darurat yang dibuat oleh kerajaan untuk kepentingan politik bagi membolehkan parti itu terus berkuasa.

"Pengisytiharan darurat hanya boleh kita terima disebabkan berlaku bencana alam," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Sebelum ini, menurut beliau, Kerajaan Pusat pernah menyalahgunakan ordinan tersebut dengan mengisytiharkan darurat di Kelantan dan Sarawak suatu ketika dulu.

Katanya, tindakan tersebut diambil berdasarkan peruntukan Ordinan 64, 66 dan 77 yang jelas bermotif politik, bukannya untuk kepentingan negara dan rakyat.

"Bila undang-undang ini diungkai hari ini, ia masih tidak menjamin tindakan itu tidak akan berlaku kerana kerajaan masih diberikan kuasa untuk melakukannya," ujarnya.

Berdasarkan pemikiran yang waras, tambahnya, kejayaan yang dinikmati negara hari ini adalah kejayaan rakyat dan pejuang-pejuang terdahulu.

"Setiap kita mahu negara kita terus menempa kejayaan dan tidak mahu merosakkan masa depan negara. Sehubungan itu, setiap rakyat mahu demokrasi di negara ini disuburkan," tegasnya.

Sekiranya demokrasi tidak disuburkan, tambah beliau lagi, rakyat pasti bangkit di jalan raya seperti yang berlaku di negara-negara Timur Tengah baru-baru ini.

Katanya, tindakan Kerajaan BN yang masih mencengkam rakyat dengan pemansuhan Ordinan Darurat dan pembentangan Akta Perhimpunan Aman yang tidak boleh diterima oleh orang ramai, dilihat oleh rakyat sebagai tindakan kerajaan untuk mengecilkan demokrasi di negara ini.

Beliau berharap agar kejadian di Timur Tengah diambil pengajaran oleh Kerajaan BN supaya tidak turut terjadi di negara ini.-Hrkhdly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...