Tinggal enam bulan mandat kerajaan pusat semasa genap empat tahun. Lazimnya sejarah pilihan raya menunjukkan pilihan raya umum peringkat pusat dan negeri kecuali dalam kes Sarawak akan diadakan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.
Dalam hal ini, PAS Selangor meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan bulan depan selepas berakhirnya musim haji susulan publisiti meluas oleh media untuk memberi kesan positif ke atas kepimpinan Najib selaku Perdana Menteri yang keenam. Pilihan raya umum ke-13 adalah yang pertama bagi Najib selaku Perdana Menteri.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Abdul Samad mengandaikan Najib akan mengumumkan tarikh berkenaan setelah beliau pulang dari tanah suci
.
“Apabila beliau (Najib) balik pada 9 atau 10 November, ada kemungkinan dikatakan bahawa Parlimen akan dibubarkan pada 11 November dan pilihan raya akan diadakan bulan depan,” kata beliau dengan mengandaikan publisiti meluas ketika berada di Mekah seolah-olah akan memberikan imej baru kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.
Beliau memberitahu publisiti yang meluas ketika berada di Mekah menguatkan lagi ramalan bahawa tarikh pilihan raya umum ke-13 semakin dekat.
“Kita masih berharap pilihan raya umum tidak diadakan bulan hadapan kerana bimbang masalah banjir selain membolehkan Pakatan Rakyat melakukan persiapan rapi,” katanya baru-baru ini. Pada masa yang sama Ahli Parlimen Shah Alam itu menjangkakan pilihan raya umum ke-13 bulan depan sebab Bajet 2012 akan diluluskan minggu ini.
Justeru kata wakil rakyat penggal pertama ini, pembubaran Parlimen tidak perlu menunggu sesi perbahasan selesai, sebaliknya hanya memerlukan Bajet 2012 diluluskan.
Perbahasan peringkat dasar Bajet 2012 sudah selesai. Kini ia masuk peringkat jawatankuasa.
Khalid (kanan) yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat mempunyai satu lagi alasan kukuh ke arah itu.
“Kita berasa aneh... sesi perbahasan bajet kali ini, berakhir lewat setiap hari sejak hari pertama sidang Dewan Rakyat (yang bermula 3 Oktober lalu), seolah-olah bajet mahu diluluskan dengan cepat. Ini berbeza dengan sesi perbahasa bajet sebelum ini, berdasarkan pengalaman saya,” katanya.
Meskipun Bajet 2012 akan diluluskan dalam waktu terdekat, penganalisis politik veteran Datuk Seri Prof Dr Datuk Syed Arabi Syed Idid pula melihat “Disember 2011 akan kekal sebagai bulan janji sebab segala ganjaran dan imbuhan yang dijanjikan oleh Datuk Najib perlu dilaksanakan dan ditunaikan.”
“Ganjaran dan imbuhan ini akan ditunaikan... wang tunai yang dijanjikan akan sampai ke tangan penerima akhir bulan depan dan awal Januari... ia memerlukan masa, jadi tidak mungkin pilihan raya umum tahun ini,” kata beliau dengan mengandaikan kemungkinan pilihan raya selepas awal Februari depan.
“Kemungkinan bulan Februari atau Mac, bukan tahun ini,” kata beliau.
Mandat semasa kerajaan pusat hanya akan berakhir pada April 2013.
Syed Arabi juga mengandaikan tarikh itu memandangkan BN sebenarnya belum selesai membincangkan soal pembahagian kerusi dan calon khususnya yang membabitkan Sabah dan Sarawak.
“Saya tidak nampak sebarang penyelesaian yang konkrit dalam BN sendiri setakat ini. Parti-parti pembangkang nampak ada laporan mengenai perkara. Jadi ia akan mengambil sedikit masa... pilihan raya umum tahun ini sangat tidak mungkin,” katanya lagi.
Bagaimana dengan pendirian parti-parti komponen Pakatan Rakyat? Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak kisah bila Najib hendak membubarkan Parlimen.
“Bila pilihan umum akan diadakan, itu kena Datuk Najib dan (isterinya) Datin Seri Rosmah (Mansor),” jawab Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad (kiri) apabila ditanya mengenai spekulasi yang semakin meningkat dengan spekulasi memfokuskan tanggal 11 November — iaitu Jumaat ini — atas alasan nombor “11” adalah angka pilihan Najib.
“Bagi kami, PKR sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa, kami sudah mengadakan konvensyen pilihan raya baru-baru ini, jentera sudah bersiap sedia, calon-calon pun sudah disenaraipendekkan,” kata beliau ketika dihubungi.
PKR akan mengadakan kongres tahunan mereka di Johor hujung bulan ini dan Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor tidak melihat ia sebagai satu masalah.
“Jika Parlimen dibubarkan, kami akan menangguhkan kongres. Tetapi setakat ini, kita tiada apa-apa maklumat mengenai pilihan raya, jadi kongres diteruskan sebagaimana telah dijadualkan,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.
Meskipun keputusan membubarkan Parlimen adalah prerogatif perdana menteri, pemimpin Umno, parti teras BN masih beranggapan pilihan raya umum ke-13 hanya akan dipanggil tahun depan.
Berkongsi pandangannya dengan The Malaysian Insider, Exco Pemuda Umno Lokman Adam berkata, “saya masih beranggapan apa yang diperkatakan sekarang hanya sekadar spekulasi. Saya masih berkeyakinan bahawa pilihan raya umum ke-13 hanya akan diadakan tahun depan, tetapi bila tarikhnya... saya tidak tahu.”
Lagipun tegas beliau, BN dan Umno tidak terdesak untuk mengadakan pilihan raya awal. “Tiada sebab untuk diadakan pilihan raya, tetapi kita faham menjadi prerogatif perdana menteri untuk memutuskan bila ia akan dipanggil,” kata beliau yang mengetuai biro pidato sayap pemuda Umno ini.
Dalam nada sindir, Lokman berkata, “saya pun tidak faham dengan (Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia) Badrul (Hisham Shaharin) ini... mereka itu gila, dulu tuduh Datin Seri Rosmah dalam isu cincin, kemudian anak berbelanja RM200,000 di Australia, orangnya pun tak pergi... sekarang buat spekulasi 11 November.”
“Saya tak faham apa yang mereka fikirkan ini, mereka kena terima belajar kekalahan. Bagi kami tidak ada apa-apa, kami buat kerja macam biasa sahaja,” kata Lokman yang turut menyentuh mengenai cadangan Solidariti Anak Muda Malaysia bahawa satu gerakan besar-besaran akan diadakan sebagai amaran kepada Najib jika gagal melakukan proses penambahbaikan pilihan raya sebelum pilihan raya umum diadakan.
Kelmarin, Solidariti Anak Muda Malaysia berkata jika gesaan itu tidak atau gagal dipenuhi, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan mengadakan protes dengan mobilisasi yang besar sebagai menuntut proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil. Ia susulan kepada perhimpunan Bersih 2.0.
Ahli Parlimen Bebas Pasir Datuk Ibrahim Ali (kanan) juga berpandangan teguh bahawa pilihan raya umum ke-13 tidak mungkin akan diadakan tahun ini.
“Saya tidak fikir pilihan raya umum tahun ini... saya masih yakin, fikir tahun 2012,” kata Presiden Perkasa ini dengan merujuk kepada faktor cuaca - ramalan bahawa banjir besar kemungkinan akan melanda negara dalam waktu terdekat.
“Selain faktor cuaca, sebenarnya persiapan (semua parti) belum rancak lagi, tiada papan-papan tanda yang menunjukkan demam pilihan raya... saya tidak fikir tahun ini,” katanya lagi.
Selain kongres tahunan PKR hujung bulan ini, Umno juga akan mengadakan perhimpunan agung tahunan akhir bulan ini. Ia akan berlangsung dari 29 November hingga 3 Disember. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka menyempurnakan sesi taklimat kepada pegawai pengurus pilihan raya akhir bulan ini. Cuti persekolahan akan bermula pertengahan bulan ini.-TMI
No comments:
Post a Comment