Sunday, November 27, 2011

Gugur Akta Perhimpunan Aman, bukan pinda

Akta Perhimpunan Aman adalah sesuatu yang mengarut apabila rakyat Malaysia yang hendak berhimpun perlu memaklumkan kepada pihak polis 30 hari lebih awal...

          Kerajaan BN digesa menggugurkan Akta Perhimpunan Aman yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada persidangan Dewan Rakyat empat hari lalu, bukannya dipinda peruntukan-peruntukan tertentu seperti yang disyorkan oleh sesetengah pihak.
           Ahli Jawatankusa Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, rang undang-undang itu ternyata bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan perlu digugurkan.

Katanya, pihaknya tidak boleh menerima sekali-kali rang undang-undang tersebut dan juga tidak boleh menerima sekiranya ia hanya sekadar dipinda bagi peruntukan-peruntukan tertentu.


Berucap pada perhimpunan aman yang disertai sekitar 300 orang di kawasan taman KLCC, di sini, hari ini, beliau menegaskan, pihaknya membantah rang undang-undang tersebut kerana ia ternyata lebih mengekang kebebasan rakyat negara ini untuk berhimpun secara aman.

Kumpulan tersebut mengenakan kemeja-T dan membawa balon berwarna kuning serta bunga sebagai simbolik kepada Perhimpunan Aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Turut hadir, seorang lagi Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Wong Chin Huat; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, rakan sejawatannya dari Segambut, Lim Lip Eng; Pemangku Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, A Vathemurthy dan kakak mendiang Teoh Beng Hock, Lee Lian.

Kempen protes setengah jam itu dianjurkan oleh sebuah gabungan 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Freedom to Assemble Campaign.

Sementara itu, Wong dalam ucapannya berkata, adalah sesuatu yang mengarut apabila rakyat Malaysia yang hendak berhimpun perlu memaklumkan kepada pihak polis 30 hari lebih awal.

Beliau berharap agar kerajaan mendengar suara majoriti rakyat Malaysia yang tidak memihak kepada syarat-syarat sedemikian, malah mendesak supaya rang undang-undang itu digugurkan.

Dalam perkembangan lain, laporan media awal hari ini menyebut Kabinet yang mengadakan mesyuarat mingguan semalam memutuskan untuk mengkaji balik tujuh peruntukan dalam rang undang-undang itu.

"Keputusan itu diambil dalam mesyuarat semalam," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Kuala Kangsar hari ini seperti yang dilaporkan Star Online.

Rang undang tersebut telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat empat hari lalu dan untuk bacaan kali kedua kelmarin, ekoran keputusan pentadbiran Najib Razak memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis 1967.
Bagaimanapun, akta tersebut ternyata ditentang keras oleh pelbagai pihak termasuk PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat serta pelbagai NGO.

Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut mengemukakan 11 syor kepada pentadbiran Najib agar meminda peruntukan rang undang-undang baru itu, termasuk mengkaji semula tempoh notis wajib 30 hari atas alasan ia tidak praktikal dengan tujuan perundangan baru itu.

Selain itu, kajian semula diperlukan berhubung peruntukan mengenai larangan terhadap mana-mana perhimpunan dalam jarak 50 meter dari had mana-mana tempat yang dilarang kerana ia tidak tidak realistik di kebanyakan bandar dan pekan.

PAS pula menerusi Naib Presidennnya, Salahuddin Ayub antara lain berkata, adalah sesuatu yang memalukan apabila Burma (Myanmar) kini boleh mengesyorkan undang-undang yang lebih demokratik berbanding negara kita.

“Tindakan BN yang ingin memperkenalkan undang-undang baru itu ternyata akan lebih mengecilkan lagi demokrasi di negara kita," tegasnya pada sidang media bersama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat sebelum rang undang-undang itu dibentangkan oleh Perdana Menteri untuk bacaan kali pertama.-Hrkhdly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...