Sunday, November 13, 2011

Mengapa Pulau Pinang tak akan bubar DUN jika PRU tahun ini


               Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri jika pilihan raya umum ke-13 diadakan pada tahun ini.
               Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkeras untuk mengadakan PRU pada akhir tahun ini, Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan menganjurkan satu konvensyen khas untuk mengesyorkan supaya pilihan raya negeri tidak akan diadakan bersama dengan PRU.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menjelaskan lima sebab utama mengapa kerajaan negeri tidak pula terperangkap dengan agenda politik Najib dan UMNO-Barisan Nasional:

Pertama, BN masih belum lagi menyempurnakan janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pengagihan RM500 kepada semua isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.


Guan Eng berkata, persoaln timbul sama ada janji pemansuhan ISA itu merupakan wayang semata-mata, kerana pada masa yang sama rakyat diberitahu bahawa ISA akan digantikan dengan dua lagi undang-undang yang serupa.

“Jika itu berlaku, Malaysia bukan sahaja akan mempunyai satu ISA, tetapi dua undang-undang zalim yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bayaran RM100 kepada setiap pelajar yang dilakukan pada tahun ini juga menimbulkan masalah kesahihan kerana Bajet BN 2012 belum lagi diluluskan oleh Parlimen.

“Jika pembayaran RM100 diberi pada tahun ini, dan ia tidak pula diperuntukkan dalam Bajet 2011, dari manakah datangnya duit yang ingin dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan BN ini?”

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia telah mencatatkan defisit belanjawan pada tahun ini, seperti mana defisit telah dicatatkan untuk 15 tahun berturut-turut.

Defisit negara bagi tahun 2010 adalah RM43.27 bilion, dan untuk tahun 2011 pula meningkat kepada RM45.51 bilion, dan unjuran defisit untuk 2012 adalah RM43 bilion (atau 4.7 peratus daripada unjuran nominal KDNK RM918 bilion).

“Di manakah Kerajaan Persekutuan akan mendapat lebihan RM530 juta untuk pemberian RM100 kepada setiap pelajar sekolah tahun ini apabila ia tidak diperuntukkan dalam tahun 2011? Dan bukankah ini akan menambahkan defisit negara?” kata Guan Eng.

Kedua, adalah tidak adil untuk menafikan hak mengundi kepada jemaah haji yang sedang menunaikan ibadah mereka jika PRU dalam tahun ini, teriutama kepada kumpulan terakhir jemaah yang hanya dijangka kembali ke tanah air pada 11 Disember. Seramai 30,000 rakyat Malaysia telah ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Ketiga, kegagalan dan keengganan kerajaan BN untuk menjelaskan penyelewengan dana, penyalahgunaan kuasa dan ketidakseimbangan yang nyata seperti yang telah digariskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

“Laporan tersebut telah mengingatkan rakyat Malaysia tentang segala kekurangan dan kesalahan dalam pentadbiran Kerajaan BN,” kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Sepasang binokular marin ‘visi malam’ yang berharga RM1,940 telah dibeli pada harga RM56,350; set TV LCD dan pemain DVD telah dipesan dengan harga kontrak RM16,100 tetapi yang dibekalkan merupakan set jenama bermutu rendah yang berharga RM195; RM770,000 pula telah dibelanjakan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada satu rumah.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, laporan Ketua Audit Negara telah menyatakan bahawa 9 kementerian atau jabatan telah terlebih membelanjakan peruntukan dengan jumlah sebanyak RM3.73 bilion.

“Menteri Datuk Shahrizat Abdul Jalil pula terlibat dengan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang bernilai RM73.6 juta apabila projek itu telah diberikan kepada keluarganya. Suami Datuk Shahrizat merupakan Pengerusi Eksekutif manakala anaknya menyandang jawatan Ketua Eksekutif (CEO). Anak-anak lainnya pula berjawatan Pengarah Eksekutif.

“Banyak soalan belum dijawab tentang projek Fidlot di Gemas, Negri Sembilan, seperti pengeluaran lembu yang tidak mencapai sasaran, di mana 3,289 ekor telah dikeluarkan dalam tahun 2010, atau 41.1 peratus daripada 8,000 ekor yang disasarkan,” ujarya

Oleh itu, menurutnya, rakyat Malaysia bimbang dengan penggunaan atau penyalahgunaan wang rakyat, yang sekarang membabitkan pinjaman RM250 juta untuk membiayai “bisnes keluarga” ini, apatah lagi apabila projek ini nampaknya akan menjadi satu kegagalan yang besar.

“Tambahan pula, Shahrizat belum lagi menafikan laporan bahawa dana itu telah digunakan untuk tujuan lain seperti yang didakwa oleh PKR bahawa hampir RM10 juta telah digunakan untuk pembelian sebuah unit kondo mewah,” tambahnya.

Keempat, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk reformasi pilihan raya masih belum lagi selesai dengan pendengaran awamnya untuk melakukan perubahan demi menzahirkan pilihan raya yang bebas, bersih dan adil.

Guan Eng berkata, kegagalan untuk melaksanakan perubahan itu akan membolehkan BN melakukan pilihan raya yang paling kotor dalam sejarah dengan pengundi hantu dan juga pengundi asing yang diberi kerakyatan secara pantas dan ajaib.

“Adakah nasib dan takdir Malaysia akan ditentukan oleh rakyat kita sendiri ataupun pengundi hantu dan pengundi asing?” soal beliau.

Kelima, agenda kebangsaan menjelang akhir tahun ini patut ditumpukan kepada tindakan mitigasi dan pencegahan banjir yang diramalkan bakal menjejaskan kebanyakan rakyat.

“Malaysia harus belajar daripada kengerian banjir di Thailand yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa yang tragis dan kerugian kewangan yang besar.

“Jika PRU diadakan semasa musim tengkujuh, ia bukan sahaja akan menafikan hak demokratik mangsa-mangsa banjir tetapi juga bersifat tidak berperikamanusiaan,” ujarnya. – Roketkini.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...