“Sekian lama mahasiswa dipasung minda mereka dengan peruntukan AUKU yang tidak munasabah, dan hari ini, AUKU terbukti bercanggah dengan Perlembagaan.
Angkatan Muda KEADILAN menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang memutuskan Seksyen 15 (5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin.
“AMK melihat keputusan ini memberikan titik noktah kepada hayat Auku agar ia dimansuhkan sepenuhnya, sebagaimana yang diperjuang secara istiqamah oleh gerakan mahasiswa zaman berzaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shamsul, Seksyen 15 AUKU merupakan ‘perangkap yang sengaja dipasang’ pemerintah untuk mengekang suara mahasiswa.
“Sekian lama mahasiswa dipasung minda mereka dengan peruntukan AUKU yang tidak munasabah, dan hari ini, AUKU terbukti bercanggah dengan Perlembagaan.
“Ini sekaligus memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Umno-BN yang bermati-matian mempertahan Auku untuk mengekang kebebasan mahasiswa beraktivisme,” katanya.
Dalam keputusan hari ini, dua hakim menyanggah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Auku sebagai berperlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu.
Keputusan majoriti itu diperoleh apabila Hakim Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Linton Albert membenar rayuan UKM4 walaupun seorang lagi hakim, Low Hop Bing berbeza pendapat.
Mahkamah Tinggi pada 28 September lalu menolak saman pemula yang dikemukakan empat mahasiswa itu bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka kerana didakwa terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor pada April tahun lalu.
Keputusan dibuat oleh Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Aziah Ali.
Empat mahasiswa itu yang kesemuanya bekas ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM, ialah Hilman Idham (presiden), Ismail Aminuddhin (naib presiden), Azlin Shafina Adzha (setiausaha agung), Wong King Chaì (exco).-K/Daily
No comments:
Post a Comment