Wednesday, November 16, 2011

NFC: Mahfuz bidas Muhyiddin masih membisu

 Apakah peranan Shahrizat dan keluarganya sehingga dipilih mengendalikan NFC? Adakah kerana bermodalkan sebagai 'Ketua Wanita Umno' beliau layak menerima projek itu? Jika begitu senang betul, jadi ketua dapat projek..

             Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjelaskan adakah keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dipilih mengendalikan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kerana mereka adalah 'orang sendiri'.
              Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar juga membidas Muhyiddin yang membisu terhadap peranannya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu dalam memberikan projek tersebut kepada keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

"Dalam tegurannya kepada (Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk) Bung Moktar (Radin), Muhyiddin menyifatkan tuntutan timbalan pengerusi BNBBC (Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional) itu supaya Shahrizat meletak jawatan sebagai sesuatu yang tidak perlu di kalangan 'orang sendiri'.


"Persoalannya, adakah keluarga Ketua Wanita Umno itu dipilih mengendalikan NFC kerana mereka juga adalah 'orang sendiri'?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Mahfuz juga mempersoalkan sikap Muhyiddin yang hanya bersuara apabila Shahrizat dituntut supaya meletak jawatan.

"Saya tidak mahu mempersoalkan keghairahan Muhyiddin membela rakannya dalam kabinet dan kepimpinan Umno serta menolak tuntutan Bung Moktar supaya Shahrizat meletak jawatan.

"Memang Shahrizat patut meletak jawatan jika beliau mementingkan maruah tetapi yang lebih penting ialah apakah peranan Muhyiddin, Shahrizat sendiri dan bekas Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sehingga keluarga Shahrizat dipilih mengendalikan NFC?

"Rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas tanpa sebarang keraguan mengenai peranan mereka. Bagaimana syarikat tidak ada pengalaman boleh diluluskan?" katanya sambil menekankan bahawa projek kontroversi yang diuruskan oleh anggota keluarga Shahrizat itu diperolehi mereka ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin hari ini menegaskan Shahrizat tidak terlibat secara langsung dalam NFC dan tidak perlu meletakkan jawatan sebagai anggota kabinet dan parti.

Dalam kenyataannya, Abdullah pula meminta Shahrizat supaya jangan melayan tuntutan supaya beliau meletakkan jawatan.-Hrkhdly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...