Anwar ingin berdebat dengan Najib mungkin terselit kebenarannya. Kenapa Najib harus takut dan hanya berani membuat kenyataan-kenyataan yang negatif terhadap Anwar melalui media dan TV. Apabila Anwar mengajak berdebat berbagai-bagai alasan yang diberi oleh Najib sehingga soal peribadi Anwar diungkitkan. Sepatutnya Najib sahut cabaran Anwar memandangkan debat ini dapat memberi manfaat untuk semua rakyat. Dalam debat ini, rakyat akan mendapat maklumat yang benar dan tepat bagi menentukan siapa pemimpin yang boleh membawa kebaikan untuk masa depan rakyat dan negara. Hanya dengan berdebat saja dapat rakyat lihat siapa yang lebih matang dalam menguruskan negara apabila pilihanraya diadakan, samada untuk memilih Pakatan Rakyat atau Umno-BN. Mungkin Najib sendiri tidak yakin dengan kebolehannya untuk berdepan dengan Anwar serta Najib dapat mengagak jika beliau berdebat dengan Anwar, banyak keburukan yang akan dihadapinya daripada kebaikan. Jika dilihat ketokohan antara Anwar dan Najib, Anwar lebih berwibawa dalam ketokohannya sebagai seorang pemimpin yang berprinsip dan berkobolehan. Sampai kiamat pun Najib tidak akan menyahut seruan Anwar. Percayalah..
Suhaimi Mokhtar Jangka hayat Barisan Nasional (BN) terutama parti dominannya, Umno yang menjadi komponan terbesar, tidak pernah menghadapi cabaran sehebat cabaran mutakhir ini,sebaik sahaja selepas pilihanraya 2008.
Umno bersama komponen partinya yang berjumlah 14 pertubuhan politik termasuk di Sabah dan Sarawak memerintah negara dan menguasai Kerajaan Pusat sejak merdeka pada 1957 sehingga kini dan cabaran yang dihadapinya tidaklah segenting selepas pilihanraya yang ke-12 yang lalu.
Umno selamanya menghadapi cabaran dan saingan dari PAS dan dalam pilihanraya-pilihanraya sejak 1959 PAS telah memberi saingan hebat hingga dapat menguasai dua buah negeri di Pantai Timur Semenanjang apabila PAS dapat membentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu.
Tetapi Kerajaan PAS di Terengganu hanya mampu bertahan selama dua tahun apabila Umno dengan manipulasi politik kotor dan jijik menguasai semula kerajaan negeri melalui undi tidak percaya di Dewan Negeri yang terkenal dengan peristiwa lompat parti menyebabkan kerajaan pimpinan PAS yang diketuai Menteri Besar Daud Abdul Samad tumbang.
Bagaimana pun Kerajaan PAS di Kelantan kekal selama 18 tahun sehinggalah satu lagi manipulasi politik yang kotor dan jijik dirancang terang-terangan dengan mengistiharkan Kelantan diletak di bawah pemerintahan Majlis Gerakan Negeri (Mageran), menyamai pemerintahan Mageran di peringkat pusat selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. Gara-gara pemerintahan Mageran di Kelantan sekitar tahun 1977 akhirnya menyebabkan PAS kalah dalam pilihanraya Dewan Negeri yang diadakan pada 1978 dan Umno-BN tanpa PAS memerintah selama 12 tahun sehingga 1990.
PAS pernah menghantar saorang atau dua orang sahaja MPnya di Dewan Rakyat selepas Dewan Negeri Kelantan dikuasai oleh Umno-BN mulai 1978 kerana hampir semua calun PAS kalah dalam pilihanraya di peringkat negeri dan pusat. Inilah pengalaman dan pelajaran getir yang mengajar PAS bahawa PAS tidak mungkin akan berkerjasama lagi dengan Umno. Sebab itulah ura-ura kerjasama yang dianjurkan Umno kepada PAS selepas pilihanraya 2008 ditolak mentah-mentah oleh PAS.
Mengimbas kembali, PAS pernah menyertai Kerajaan Pusat selepas tragedi 13 Mei setelah menerima pelawaan Tun Razak, ayahnda kepada Perdana Menteri (PM) sekarang. PAS pernah menyertai pilihanraya sebagai komponan BN, tetapi kerjasama itu tidak lama, apabila PAS ditendang keluar oleh Tun Hussien Onn yang mengantikan Tun Razak sebagai PM pada 1976.
Selepas melalui semua ini, PAS sebagai Pergerakan Islam tidak pernah patah semangat. Daya juang pimpinan dan ahli serta penyokong PAS tidak pernah pudar bahkan terus membara dan membakar sehinggalah PAS terus membuat kehadirannya terkesan dalam arena politik tanahair. Pada 1999, Terengganu berada dibawah pemerintahan PAS sekali lagi selepas menunggu hampir 40 tahun, tetapi kemenangan itu hanya satu penggal sahaja apabila PAS kalah di Terengganu pada pilihanraya 2004. PAS sekali lagi belajar dari beberapa kesilapan dalam pemerintahan satu penggalnya.
Di Kelantan PAS dapat menguasai semula Kerajaan Negeri pada 1990 dengan kerjasama Semangat 46 melalui gagasan perpaduan ummah sehinggalah sekarang dan Tok Guru Datuk Nik Aziz kini merupakan satu-satunya Menteri Besar (MB) yang paling lama memegang jawatan tertinggi di peringkat negeri berbanding dengan mana-mana MB kerajaan negeri yang dibawah Umno-BN.
Sejarah pergolakan dan percaturan politik ini perlu digarapi bagi melihat percaturan masadepan seterusnya yang memberi petanda bahawa lanskap politik era baru sedang mengambil tempat sebaik
sahaja selepas pilihanraya Mac 2008. Pilihanraya 2008 merupakan satu ‘watershed’ yang bakal menggamit, memberi petanda momentum pada pilihanraya ke-13 ini. Jangka hayat pentadbiran Umno-BN ini akan tamat selewat-lewatnya pada 2013.
Walaupun ura-ura parti pembangkang yang kini berada dibawah Pakatan Rakyat gagal untuk kePutra Jaya lebih awal sebagaimana yang dijanjikan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang optimis bahawa ada sebilangan anggota Dewan Rakyat parti kerajaan akan menyeberangi ke pihak pembangkang bagi membolehkan pertukaran kerajaan berlaku.
Tetapi tarikh yang disebut-sebut berlalu tanpa terjadi apa-apa. Pihak kerajaan begitu cemas ketika itu kerana lanskap politik pasca pilihanraya ke-12 tidak menyebelahi kerajaan walaupun Umno-BN masih berkuasa di peringkat pusat. Umno-BN kehilangan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak dalam pilihanraya lalu. Kelantan pula terus gagah dan kuat ditunjangi PAS melepasi usia pemerintahan dua dekad.
Umno-BN menggunakan pelbagai tipu helah politik yang tidak berakhlak bagi menumbangkan kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat dan ia hanya berjaya di Perak dengan menggunakan tektik kotor yang sinonim dengan Umno-BN. Apa yang berlaku di Perak tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku kepada kerajaan PAS Terengganu pada 1961 dan pemerentahan Mageran di Kelantan sebelum pilihanraya 1978.
UMNO-BN terus diasak dengan pelbagai isu yang diketengahkan oleh pembangkang yang untuk pertama kalinya mempunyai suara yang nyaring dan lantang di Dewan Rakyat. Pimpinan kerajaan kadang-kadang kelihatan kehilangan punca menanggani dan menghadapi isu-isu yang ditimbulkan pembangkang.
Terbaru ialah cabaran Anwar Ibrahim mengajak PM berdebat mengenai gagasan 100 hari jika pembangkang menerajui kerajaan pusat. Pakatan Rakyat mengeluarkan satu gagasan, pelan atau piagam politik untuk membelanjakan kira-kira RM 19 billion untuk rakyat termasuk guru-guru, jika Pakatan Rakyat menguasai Putra Jaya pada pilihanraya ke-13 ini.
Pimpinan kerajaan kelihatan tidak senada dan kelam-kabut dengan gagasan itu dan PM sendiri menganggapnya satu gagasan untuk mencari populariti sokongan umum kerana menurutnya, jika gagasan itu dilaksanakan ia akan membawa negara menjadi muflis.
Dalam gagasan itu Pakatan Rakyat menganggarkan bahawa perbelanjaan itu mampu diraih dari ketirisan, rasuah dan kepelbagaian perbelanjaan mewah, perbelanjaan kepada syarikat-syarikat konsesi kroni yang tidak menguntungkan rakyat kerana ia memasuki poket perasuah yang perlu diselamatkan.
Sebenarnya apa yang berlaku dalam kepelbagaian kemewahan belanja kerajaan bukan lagi berada dalam tahap ketirisan tetapi kebocoran yang tidak dapat dibendung lagi.
Dalam konteks ini adalah sangat wajar PM Najib menyahut cabaran Anwar untuk berdebat, bukan untuk melihat siapa kalah dan menang, tetapi untuk membolehkan rakyat membuat penilaian dan mencari kebenaran dari saranan 100 hari Pakatan rakyat itu.
Lawan Anwar ialah Najib, bukan Khairy Jamaluddin (KJ) yang menyatakan kesanggupannya. Lawan Khairi ialah Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang mencabarnya. Khairy yang berura-ura untuk tidak lagi mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan anggota Dewan Rakyat, sebenarnya sedang menagih simpati, kerana sebagai Ketua Pemuda Umno, Khairy bagaikan tidak dipeduli dan diberikan perhatian oleh kepimpinan Najib. Anak Tun Dr Mahathir, Mukhriz lebih diberi perhatian walaupun kalah dalam pertarungan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno.
Kedudukan Khairy dalam politik UMNO bagaikan tidak diiktirafkan dan tidak setempal dengan jawatan Ketua Pemuda Umno yang disandangnya. Sebelumnya ketika ayah mentuanya menjadi PM, Khairy disifatkan ramai pihak termasuk Tun Dr Mahathir sebagai orang penting dalam pentadbiran Abdullah Badawi.
Menjadi harapan rakyat terutama para pengundi pilihanraya ke-13 supaya debat Najib-Anwar akan berlangsung dan disiarkan melalui saluran TV keseluruh negara dan sebagai mukadimahnya biarlah debat Khairy dengan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd. Akin dilangsungkan lebih dahulu.
Politik dan demokrasi di Malaysia patut disuburkan dengan perdebatan sesuai dengan negara yang akan melangkah sebagai negara berpendapatan tinggi. Najib tiada alasan untuk menolaknya. Soal kredibiliti adalah ukuran sejauh mana kesanggupan dan keengganan pemimpin untuk berdebat.
Ketentuan menang kalah dalam pilihanraya ke-13 ditentukan oleh kredibiliti pemimpin. Jangka hayat Umno-BN akan dinilai oleh pengundi dalam pilihanraya akan datang ini yang dianggap paling mencabar.
----------------------------------
Penulis adalah bekas Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Pernah menjadi Setiausaha Akhbar Presiden PAS dan juga Ketua Pengarang Harakah.
No comments:
Post a Comment