Wednesday, May 25, 2011

Pakatan jangan bubar Dun jika PRU tahun ini

            DAP akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat supaya kesemua negeri Pakatan tidak membubarkan Dun masing-masing jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.
         Roketkini.com melaporkan keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP di sini malam tadi.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) pucuk pimpinan parti lebih cenderung untuk tidak membubarkan Dun bagi membolehkan pemusatan tenaga dan jentera dalam menghadapi Barisan Nasional.

“Ia juga bertujuan memastikan usaha Pakatan Rakyat untuk memenangi semula Perak dapat ditumpukan sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Bagaimana pun, beliau menjelaskan, keputusan sama ada untuk sama-sama membubarkan Dun atau tidak, sekiranya PRU diadakan tahun ini, akan dibuat bersama oleh pucuk pimpinan Pakatan tidak lama lagi.

Pakatan menguasai Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Perak dimenangi secara sah oleh Pakatan dalam PRU 2008 tetapi dirampas secara haram oleh Umno dan BN setahun kemudian.

Menurut Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, kajian terbaru yang dibuat oleh Pakatan negeri itu menunjukkan PAS, DAP dan PKR mampu memenangi 33 daripada 59 kerusi Dun Perak.

“Dalam PRU 2008, kita menang 31 kerusi dan berjaya bentuk kerajaan. Selepas BN rampas Dun Perak, kajian yang kita buat menunjukkan jika pilihan raya negeri diadakan pada ketika itu, kita mampu menang sehingga 40 kerusi, iaitu menang dua pertiga majoriti,” katanya.

Beliau menambah, keadaan pada masa itu menggambarkan kemarahan para pengundi Perak berikutan taktik kotor Umno dan BN.

Beliau menjelaskan, walau pun kajian terbaru menunjukkan kemungkinan pengutan kerusi berkurangan, ia adalah lebih baik daripada keputusan yang Pakatan catatkan pada 8 Mac 2008 dan terus menjamin kemenangan.

Sebelum itu, Guan Eng menyatakan pucuk pimpinan DAP mengulangi pendirian bahawa parti tetap menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak, kini dan sekiranya Pakatan kembali menguasai negeri itu.- Hrkh

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...