Thursday, May 12, 2011

Najib, Umno tetapkan agenda Utusan Malaysia- Hata

       Bekas wartawan kanan Utusan Malaysia, Hata Wahari berkata, agenda Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Hata berkata, Ketua Pengarang Utusan pula akan menerima arahan dari mesyuarat Biro Politik Umno yang bersidang setiap malam Isnin, lapor sebuah portal berita, Free Malaysia Today.

Selain Najib, hadir dalam mesyuarat itu adalah timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin, Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamudin Husein, Datuk Seri Safie Apdal serta Setiausaha Agung, Datuk Tengku Adnan Mansor dan Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.


Agenda mingguan yang diputuskan dalam mesyuarat itu katanya, akan disampaikan kepada Ketua Pengarang Utusan melalui pejabat Perdana Menteri.

“Utusan akan melaksanakan isu yang diarahkan selama tiga hari sebelum menghentikan sepenuhnya kecuali menerima sokongan kuat dari pemimpin utama BN,” kata Hata.

Hata dalam temubual itu berkata jumlah jualan akhbar itu merosot secara konsisten dan mengalami kerugian sehingga RM20 juta sejak 2009.

Angka dari Audit Bureau of Circulation (ABC) menunjukkan jualan harian akhbar itu pula merosot sebanyak 20 peratus di antara Jun 2006 dan Jun 2010.

Manakala 50 peratus daripada jualan Utusan pula, kata Hata, dibiayai kerajaan.

“36 kementerian melanggan Utusan dan kerajaan berbelanja RM50 juta setahun untuk iklan. Inilah sahaja keuntungan Utusan kerana kebanyakan organisasi enggan beriklan dengan mereka,” katanya.

Setakat Jun 2010, Utusan Malaysia mencatat purata jualan 170,558 naskhah berdasarkan laporan ABC.
Daripada angka itu, di antara 70,000 dan 80,000 naskhah diedar kepada vendor akhbar setiap hari, tetapi menurut Hata hampir separuh dipulangkan semula pada hujung hari.

Jumlah naskhah tidak terjual yang paling tinggi adalah di Kuala Lumpur.

Hata yang juga Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dipecat Utusan Melayu berhad 1 Mei lalu, dua hari sebelum Hari Kebebasan Akhbar sedunia yang disambut pada setiap 3 Mei.

Alasan Utusan adalah kerana Hata mmeburukkan imej majikannya itu, menerusi beberapa kenyataan media yang mengkritik pengurusan editorial utusan.

Utusan mendapat serangan dari pelbagai pihak sejak kebelakangan ini ekoran tindakannya mensensasikan pelbagai isu yang dianggap tidak wajar.

Yang terbaru isu “Kristian menjadi agama rasmi” sehingga MCA, rakan kongsi Umno dalam Barisan Nasional (BN) juga tidak percaya lagi kepada akhbar itu.-KD

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...