Friday, May 27, 2011

Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, sebelum PRU13

            Lakukanlah. Semua rakyat yang berbilang kaum di negara ini harus bersama  tanda menyokong tindakan "Bersih" untuk menuntut pilihan raya yang adil dan telus.Apa yang penting jangan berhenti dan jangan mudah mengaku kalah. Apa yang kita mahukan adalah agenda perubahan dalam pilihan raya ke arah demokrasi yang sebenarnya.. 
          Di seluruh dunia ketika ini gegaran untuk mengukuhkan demokrasi sedang berlaku, justeru itu pihak berkuasa khususnya kerajaan UMNO-BN wajar menghormati suara rakyat

Artikel penuh kenyataan Pengurusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan ..  
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menetapkan tarikh ‘Perhimpunan Rakyat’ pada hari Sabtu, 9 Julai 2011.
Ia merupakan perhimpunan dan perarakan kedua selepas Bersih berjaya menganjurkan himpunan besar-besaran pada 10 November 2007, bertujuan menuntut kerajaan mengadakan pilihan raya yang lebih bersih dan adil.

Namun pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, Bersih akan memaklumkan sekiranya berlaku pindaan berikutan desas-desus mengatakan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada bulan yang sama dengan tarikh perarakan tersebut.



“Perkara itu menjadi perhatian utama kami sekiranya benar-benar berlaku. Tetapi sehingga hari ini, kita masih lagi mengekalkan tarikh yang sama, iaitu 9 Julai,” katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya mengenai pengumuman Pas bahawa parti itu mengarahkan 100,000 ahlinya untuk turut sama dalam perhimpunan tersebut, Ambiga menyokong inisiatif parti itu melalui pimpinan mereka.

“Kita mengundang semua pihak termasuk NGO, masyarakat madani, ahli parti dan pemimpin politik untuk bergabung tenaga dalam himpunan ini.

“Tetapi yang lebih penting adalah penglibatan dan sokongan rakyat. Rakyatlah sebenarnya yang memimpin,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau membidas kecaman keras oleh pihak tertentu dan ugutan untuk menghalang acara tersebut.

“Kami harap pihak polis memberi kerjasama dan tidak mengganggu. Tidak mendengar suara rakyat adalah kesilapan besar pemerintah.

“Kami serius dengan pilihan raya. Masa telah tiba kepada pihak yang diamanahkan menguruskan negara untuk mengambil kira pendapat-pendapat rakyat.

Menurut Ambiga, di seluruh dunia ketika ini gegaran untuk mengukuhkan demokrasi sedang berlaku, juteru pihak berkuasa wajar menghormati suara tersebut.

“Apa yang penting kita jangan berhenti dan jangan mudah kalah. Apa yang kita mahukan adalah agenda perubahan,” tegas Ambiga.- K/Daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...