Tuesday, July 17, 2012

Tuntutan Oren penentu masa depan Melayu



                       Tuntutan Perhimpunan Oren mengenai isu penyenaraian FGVH dalam bursa saham harus menjadi titik perubahan politik Melayu di negara ini. Ia bukan sahaja isu yang berkait dengan hak peneroka Felda malah harus dilihat sebagai isu penentu nasib dan masa depan orang Melayu.
                     Teras yakin dengan kedudukan ekonomi dunia dan rantau dalam keadaan meleset untuk jangka waktu yang agak panjang, penyenaraian aset Felda dalam pasaran saham akan mendedahkan peneroka kepada manipulasi aset mereka dalam Koperasi Felda oleh pembeli dan penjual saham.

Ini dilihat sebagai isu pokok yang dibantah oleh peneroka . Namun harus difahami kemungkinan terlepasnya harta paling berharga kepada orang Melayu iaitu tanah adalah bencana terbesar kepada nasib orang Melayu.


Aset tanah bukan hanya harus dilihat sebagai komoditi semata-mata namun ia adalah tapak pembinaan bangsa yang sangat asasi. Kehilangan tanah bermakna hilangnya segala kekuatan sosio-ekonomi dan politik Melayu.

Tergadainya tanah Melayu bermakna hilangnya wilayah dan tercabutnya kemerdekaan malah kedaulatan bangsa.

Sebab itu Teras berpendirian tuntutan rakyat agar Felda diselamatkan bukan hanya soal hak peneroka. Ia adalah agenda menjaminkan kesinambungan bangsa Melayu dalam aspek sosial , ekonomi , budaya , politik serta survival bangsa.

Menolak dan membantah langkah kerajaan dalam isu ini semestinya perlu dilihat sebagai satu gerakan perubahan politik Melayu. Ketika kemerdekaan Tanah air diperjuangkan, wilayah bangsa Melayu diidentitikan dengan tanah. Oleh kerana itu kehilangan tanah Felda milik orang Melayu seharusnya dibangkitkan semula sebagai tuntutan politik bangsa .


Jika kerajaan maseh beria-ia untuk meneruskan langkah penyenaraian FGVH atas alasan potensi ekonomi, Teras tetap menyatakan langkah itu mengundang kepada kesilapan yang besar.

Tidak ada sesiapapun dikalangan ahli ekonomi yang dapat menjaminkan nilai saham FGVH akan kekal kukuh. Hanya dengan perhitungan nilai saham semasa dan membuat unjuran bahawa pendapat peneroka akan jauh lebih baik, hanya satu andaian.

Bukan satu perkara yang mustahil satu penyenaraian berakhir dengan kerugian besar kepada syarikat bila keseluruhan bursa saham menghadapi krisis keyakinan akibat ekonomi global.

Ketika ini terjadi manipulasi dan spekulasi saham akan menjadi sasaran. Aset Felda dalam bentuk tanah akan jatuh ketangan orang asing.

Teras menyokong penuh memorandum Perhimpunan Oren untuk dipertimbangkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong. Sikap keras kerajaan untuk tidak mahu mempertimbangkan tuntutan rakyat harus diteliti dengan serius oleh YDP Agong.

Bagi bangsa Melayu, hanya ada satu pilihan. Isu ini seharusnya dijadi titik tolak politik orang Melayu untuk menolak kerajaan dalam PRU 13 akan datang.-Hrkhdaily

-----------------------------------------------------------------------------------------------
Mohd Azmi Abdul Hamid -Penulis adalah Presiden Teras pengupayaan Melayu (TERAS)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...