Tuesday, July 3, 2012

Kami mahu permit, bukan tayar- Pemandu teksi


            Rata-rata pemandu teksi di sekitar Kuala Lumpur yang ditemui Keadilan Daily melahirkan rasa kecewa atas kegagalan kerajaan memahami keperluan dan keperitan mereka.
            Menurut Selvam A/L Suppiah, berkata, pemandu teksi mahukan permit individu dan bukan tayar sepertimana diumukan kerajaan dengan pemberian vaucer.

“Kita tak mahu tayar, lagipun voucer itu cuma RM520, kita kena tambah duit sendiri juga, tayar tak penting, kami mahu permit saja,” katanya.

Tambah beliau, mereka terpaksa membayar sewa kereta, termasuk menanggung permit teksi syarikat. Hal itu menyebabkan mereka hanya memperoleh pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari.


“Satu hari nak untung RM100 pun susah, lepas itu bayar sewa kereta dan permit RM60, isi gas lagi, anak-anak mahu makan apa?,” keluhnya.

Seorang lagi yang ditemui, Ng Teck Yong, 42 turut melahirkan keluhan beliau yang terpaksa membayar sewa permit yang tinggi setiap hari.

“Tiada permit kami terpaksa bayar RM70, tapi kalau ada permit, kami cuma perlu bayar RM25 untuk sewa kereta saja, itu baru betul-betul membantu,” kata Ng.

Selvam A/L Vera pula menyifatkan tindakan pemberian TR1M itu hanya bertujuan memancing undi pemandu teksi.

“Tayar boleh bagi, wang boleh bagi, kenapa permit tak boleh bagi? Kalau mahu kami undi Barisan Nasional, bagi permit dulu kalau tidak, Pakatan Rakyatlah,” tegas Selvam.

Berlainan dengan Haris bin Kasiran, 48 yang melahirkan rasa syukur dengan pemberian voucer oleh kerajaan.

“Ia sangat membantu, nak bagi banyak-banyak buat apa? ‘bankrup’ la kerajaan. Lagipun saya ada permit sendiri, teksi saya beli secara tunai, untung semua masuk poket,” ujarnya.

Ketika ditanya bagaimana beliau berhasil memiliki permit sendiri, beliau menjawab, ” Isteri saya kenal datin-datin dekat Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), minta tolong, senanglah dapat,” katanya sambil tersenyum.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bantuan Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1M) yang mana melalui bantuan itu pemandu teksi diberi voucher bernilai RM520 untuk menukar tayar di kedai terpilih.

Jika harga tayar lebih mahal, mereka perlu membayarnya dengan duit poket sendiri.

Ia berlainan dengan Pakatan yang menjanjikan pemberian lesen serta permit teksi terus kepada pemandu teksi dan tidak lagi secara konsesi seperti sekarang jika berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13-Keadilandaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...