Sunday, July 15, 2012

Himpunan Oren Selamatkan Felda Berakhir Aman

           Perhimpunan Oren Selamatkan Felda yang diadakan untuk menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung hari ini berakhir dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
           Menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, perhimpunan ini berjaya diadakan dengan aman apabila tiada sebarang tindakan provokasi dari pihak berkuasa seperti yang berlaku dalam perhimpunan BERSIH 3.0 sebelum ini.

“Ini membuktikan ketegangan yang berlaku dalam perhimpunan sebelum ini disebabkan adanya provokasi dari pihak tak bertanggungjawab termasuk pihak keselamatan sendiri.

“Hari ini Alhamdullilah, pihak polis telah menjalankan tugas mereka dengan profesional, beri kerjasama yang baik kepada kita,” kata Badrul atau dikenali juga sebagai Chegu Bard.


Terdahulu, lebih kurang jam 2.00 petang tadi kira-kira hampir 10,000 perserta perhimpunan yang diketuai oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu itu telah berarak dari Masjid Wilayah Persekutuan menuju ke persimpangan berhadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.


Selepas ucapan ringkas beberapa pemimpin, perarakan anjuran Gabungan NGO Gerakan Selamatkan Felda (GSF) tersebut diteruskan ke Istana Negera yang terletak kira-kira kurang 2 km dari situ.

Dalam satu ucapan ringkas oleh Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata, perhimpunan tersebut telah mendapat sokongan dari 12 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Antara NGO yang disebut adalah Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam (ABIM), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS),Sekretariat Kebajikan Bekas Tentera Malaysia (KERABAT), Majlis Perunding Islam Malaysia (MAPIM) dan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).

Selain itu NGO yang turut menyokong gerakan tersebut ialah Badan Bertindak Peneroka Felda (BANGKIT), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS),Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Badan Bertindak Peserta Felcra Malaysia (BAPA).

Sementara itu menurut Mohd Sabu, pihak istana terlebih dahulu telah pun memberikan persetujuan untuk menerima memorandum itu.

Seramai enam orang termasuk beliau sendiri telah dipilih untuk masuk ke Istana Negara dan bertemu Pegawai Istana yang akan menerima memorandum itu bagi pihak Dipertuan Agung.

Selepas itu, perarakan penyerahan memorandum kepada Di Pertuan Agung itu mula bergerak semula menuju ke pintu 3, Istana Negara.

Kira-kira jam 3.20 deligasi penyerahan memorandum telah mendapat kebenaran masuk ke Istana Negara.

Deligasi penyerahan memorandum tersebut telah keluar semula dari Istana Negara pada kira-kira jam 4.00 petang.

Menurut Mohd Sabu, memorandum tersebut berjaya diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam Istana Negara, Hairi Abd Rahman yang menerima bagi pihak Dipertuan Agung lebih kurang jam 3.30 petang tadi.

Mohd Sabu juga berkata, beliau dan rakan-rakan telah menerangkan kepada pihak istana campur tangan Dipertuan Agung campur tangan dalam isu ini amat diperlukan bagi menyelamatkan tanah-tanah milik orang Melayu.

Memorandum setebal 10 muka surat itu telah menyenaraikan lima justifikasi penolakan penyenaraian FGVH.

Terdapat juga empat saranan tindakan yang perlu diambil untuk menyelamatkan Felda dan beberapa tindakan bagi menyelamatkan Felda yang tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

Kira-kira jam 4.00 petang, Mohd Sabu mengumumkan kepada para hadirin, misi menyerahkan memorandum telah berjaya.

Para peserta himpunan aman tersebut mula bersurai dengan beberapa minit selepas pengumuman itu dengan tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perhimpunan.-Selangorku

Suara Rakyat Suara Keramat, Ubah Sebelum Parah. Undi Anda Membawa Perubahan. Undi Apa Saja Sekali Pun, Asal Bukan UMNO BN

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...