Monday, July 23, 2012

Isu 13 mei yang diperbesarkan Muhyiddin itu senjata politik yang sudah menumpul - Aspan Alias ,

               TS Muhyiddin Yassin masih bercakap tentang isu kejadian 13 Mei dalam siri kempen beliau di mana-mana. Beliau telah mengingatkan anak-anak muda supaya bersatu di bawah BN jika kita hendak hindarkan kejadian 13 Mei dahulu. Kata-kata Muhyiddin ini tidak lebih dan tidak kurang menunjukkan yang beliau adalah dalam keadaan ‘desperado’ dan amat tertekan dengan sokongan yang merudum terhadap BN khususnya UMNO.

My Photo

Di Semenanjung ini seperti yang saya telah selalu perkatakan BN itu adalah UMNO kerana parti-parti komponennya MIC dan MCA serta Gerakan sudah tidak relevan hampir seratus peratus sekarang ini. Maka UMNO itu BN, dan BN itu UMNO.
Malahan UMNO kini telah terbeban dengan tanggungjawab menjaga semangat BN itu enggan menurunkan calon-calon MCA, MIC dan Gerakan walaupun UMNO tahu yang ketiga-tiga parti itu sudah lama ditinggalkan ahli-ahli dan penyokongnya.

Berbalik kepada kenyataan Muhyiddin baru-baru ini ia amat tidak bertanggungjawab dengan menakut-nakutkan orang ramai yang 13 Mei akan terjadi jika PR memenangi pilihanraya yang akan datang ini. Elok juga kita bertanya kepada Muhyiddin yang sedang mencuba-cuba untuk menjadi pemimpin itu, jika pun berlaku keadaan buruk itu ia akan dilakukan oleh pihak yang kalah. Mana mungkin parti-parti dalam PR melakukan kerja buruk dan hina itu jika PR adalah pihak yang menang?

Keduanya kita bertanya kepada Muhyiddin sekali lagi, mahukah Muhyiddin berada di atas forum resmi untuk menuduh yang DAP lah yang bertanggungjawab dengan kejadian 13 Mei itu? Segala penerangan dan jawapan telah diberikan oleh pihak DAP khususnya Lim Kit Siang tentang tuduhan palsu itu. Semua orang UMNO tahu siapa yang memulakan dan mahukan kejadian berdarah itu berlaku tetapi Muhyiddin masih menyalahkan pihak lain.

Di sini saya memohon supaya di adakan satu forum secara live untuk mendengar apa-apa tuduhan itu secara resmi dan meminta LKS untuk memberikan jawapan secara live kepada rakyat jelata untuk menghapuskan tanggapan palsu yang dibuat oleh Muhyiddin itu.

Sebenarnya isu 13 Mei ini memang menjadi isu berkala: ia hanya diperbesarkan apabila setiap pilihanraya tiba. Isu ini merupakan isu yang selama ini digunakan oleh BN/UMNO untuk menakut-nakutkan pengundi untuk menyokong pembangkang. Isu ini jika diperbesarkan dua puluh tahun dahulu mungkin diterima ramai. tetapi lama-kelamaan rakyat tahu juga akhirnya yang isu itu hanyalah isu pilihanraya untuk UMNO.

Isu itu merupakan senjata UMNO tetapi senjata itu sudah menumpul kerana orang ramai sudah tidak mahu lagi mendengar dongengan pimpinan UMNO yang terdesak itu. Seruan Muhyiddin supaya anak-anak muda bersatu itu memang diterima oleh mereka (anak-anak muda) tetapi mereka hendak bersatu diluar UMNO dan BN. Anak-anak muda bukan tidak nampak sejurus sahaja mereka menyertai UMNO mereka akan berhadapan dengan politik dalaman UMNO yang sentiasa berpecah belah.

Saya tidak nampak lagi UMNO boleh menjadi badan penyatuan Melayu kerana mereka yang sudah berada di dalam UMNO itu sedang merasakan pahit maung bersama aktif dalam UMNO itu. Tidak ada siapa yang tidak mahu untuk bersatu tetapi mereka tidak mahu UMNO sebagai premis mereka untuk bersatu. Mereka tahu bersatu dibawah UMNO itu bermakna mereka membantu perkembangan kegiatan rasuah dan isu rsis yang tidak ada hadnya

Anak-anak muda mahukan penyatuan itu dibawah sebuah kerajaan yang tidak rasuah kerana mereka tahu jika kerajaan dan pimpinan itu rasuah ia akan menjadi punca kepada kejatuhan tamaddun dan kerajaan itu. Rasuah merupakan musuh utama manusia dan itu sedang berlaku di dalam UMNO kini.

Anak-anak muda tahu hanya dua perkara sahaja yang boleh menyatukan rakyat disamping perkara-perkara lain. Pertamanya kita hanya akan bersatu jika isu rasis ini diberhentikan dan Muhyiddin sepatutnya belajar. Jika isu perkauman ini diperbesarkan, sampai bila-bila kita tidak akan mencapai matlamat ‘National Unity’ itu.

Keduanya ialah kerajaan yang rasuah akan akhirnya jatuh bergelimpangan dan sejarah lama dan baru telah membuktikannya. Tidak payah di ulang-ulangi lagi. Kita lihat dan anak-anak muda juga melihat yang rasuah itu sudah menjadi ‘attribute’ penting kepada UMNO. UMNO itu rasuah dan rasuah itu UMNO.

Oleh itu kita lihat kedua-dua faktor ini menebal di dalam UMNO. Jika kita terus memberikan sokongan kepada UMNO maka ia bermakna yang kita semua mahukan negara kita dihancurkan oleh rasuah dan rakyat dipecah belahkan oleh isu perkauman yang menjadi mainan UMNO sekarang ini.

Elok kita memberi tahu pimpinan UMNO jika sudah tidak mampu untuk memperbaiki diri, elok sahaja mengangkat bendera putih: serah diri kepada rakyat dan katakan kepada rakyat yang kamu semua tidak lagi mampu untuk melaksanakan tanggungjawab dan memberikan pula peluang kepada parti-pati alternatif untuk mentadbir negara ini.

Peluang lima tahun untuk PR itu akan dapat memberikan penilaian dan diharapkan tuduhan UMNO terhadap PR itu menjadi kenyataan. Tetapi saya yakin UMNO tidak mungkin dapat menyaingi kewibawaan PR jika PR diberikan tanggungjawab mengambilalih pentadbiran negara dari UMNO dan BN itu.

Sebagaimana yang saya selalu katakan, ‘the worst of PR is a lot better than the best of BN- aspanaliasnet.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...