Friday, July 6, 2012

Skandal projek LRT: Usaha Najib takutkan saya sia2 – Rafizi

Ketangkasan polis menubuhkan pasukan khas kononnya bagi menyiasat dokumen skandal projek Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang mengesahkan persepsi rakyat bahawa pasukan itu mengutamakan Umno berbanding keselamatan rakyat, kata Rafizi Ramli.
             Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, sehingga kini polis enggan menyiasat dokumen sulit mengenai strategi dan kekuatan pertahanan negara yang dijual kepada syarikat asing seperti didedah di Mahkamah Perancis baru-baru ini.

“Apakah beliau (Datuk Seri Bakri Zinin) tidak memahami bahaya jutaan rakyat yang sedang dan bakal menggunakan sistem LRT laluan Ampang jika sebuah syarikat yang tiada pengalaman dalam sistem LRT dianugerah kontrak ini?


“Adakah beliau sendiri berani menaiki LRT sistem laluan Ampang saban hari ke tempat kerja jika beliau sedar seluruh kerja-kerja pembinaan dikendali oleh sebuah syarikat yang hanya berpengalaman mengilang meter air,” soalnya dalam kenyataan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu mengumumkan penubuhan pasukan itu bagi menyiasat pendedahan dokumen tender kontrak sambungan projek LRT Ampang yang disifatkannya sebagai rahsia kerajaan.

 Gambar menunjukkan kawasan projek yang terlibat.
“Kenyataan Bakri ini sebenarnya mengesahkan bahawa dokumen Kementerian Kewangan termasuk minit yang ditandatangani Datuk Seri Najib Razak dan dokumen lain berkaitan tender adalah benar dan asli.

“Malah kenyataan beliau juga menunjukkan Najib bimbang skandal ini bakal menggugat kedudukan beliau apabila maklumat mengenainya tersebar luas,” tegas beliau.

Kata Rafizi, sebarang usaha menakutkannya dari terus membongkar skandal itu adalah sia-sia.

“Saya juga meneruskan siri pendedahan seterusnya 9 Julai ini. Mulai minggu depan, kami mula turun ke stesen LRT untuk mengedar risalah maklumat dan melancar kempen ‘Utamakan Keselamatan Rakyat’ di seluruh LRT laluan Ampang,” kata Rafizi lagi.- keadilandaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...