Friday, May 25, 2012

Najib berlagak hebat tapi pengecut bila diajak debat – Saifuddin


             Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menempelak Datuk Seri Najib Razak yang hanya berlagak hebat di hadapan media Umno BN sebaliknya takut untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
            Beliau berkata, selepas debat antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli Selasa lalu, kini tiba masanya untuk Perdana Menteri dan Ketua Umum KEADILAN itu bersemuka.

“Tiada guna Najib menunjukkan kehebatan dengan hanya menggunakan media propaganda mereka. Itu bukan cara yang sihat bagi seorang pemimpin menggunakan media propaganda untuk menyerang lawan politik mereka.


“Cara terbaik adalah dengan mengadakan perdebatan. Rakyat sudah matang dan mereka sudah bersedia mendengar pandangan kedua-dua pemimpin ini,” katanya dihubungi Keadilan Daily.

Selepas berakhirnya debat bertajuk ‘Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi’ antara Rafizi dan Khairy anjuran Sinar Harian, moderator Dr Mazlee Malik mencabar Anwar dan Najib bersemuka bagi menjelaskan dasar parti masing-masing sebelum Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU-13).

Sebelum ini, Anwar beberapa kali mengundang Najib berdebat mengenai isu negara tetapi ditolak kerana tidak berani berdepan dengan Ketua Pembangkang itu.

Pada 2008, Anwar pernah berdebat dengan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang ketika itu Menteri Penerangan mengenai isu harga minyak.

Ketua Menteri Pulau Pinang dan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek juga pernah bersemuka dalam debat ‘Kaum Cina di persimpangan: Apakah sistem dua parti menjadi sistem dua bangsa?’ pada Februari lalu.
Saifuddin berkata, hujah mengatakan debat tidak sesuai dengan budaya rakyat Malaysia adalah dangkal kerana berdasarkan penganjuran debat sebelum ini menunjukkan ia diterima baik oleh rakyat.

Menurut beliau, debat politik adalah medium melontarkan buah fikiran untuk dinilai rakyat dalam usaha mewujudkan budaya politik sihat.
Beliau berkata, dengan berkembangnya budaya debat seperti di negara-negara maju, rakyat akan lebih matang berpolitik dan dapat memilih parti terbaik untuk menentukan hala tuju negara.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...