Tuesday, May 29, 2012

Himpunan Belia saji hiburan melampau, ketepi kerohanian



                  Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) kesal dan kecewa kerana Himpunan Belia ‘menyajikan’ lebih banyak hiburan berbanding program keilmuan dan kerohanian.
                  Presiden Gamis, Akram Ikrami Taib Azamudden berkata, program hiburan melampau bukan sekadar menghilangkan nilai-nilai ketimuran, malah mencalarkan imej Islam yang sudah lama terpahat di Malaysia.

“Belia wajar digilap dari sudut keilmuan dan kerohanian supaya perkembangan belia seimbang.

“Projek membangunkan belia perlu melalui kebajikan seperti pendidikan percuma, prasarana sukan dan kebudayaan yang lengkap bagi di kawasan pedalaman.


“Institusi belia yang efektif juga perlu diwujudkan bagi mengurangkan pengangguran dan membantu ekonomi belia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Akram, dalam keghairahan kerajaan membangunkan belia, mereka terlupa perkara asas yang menjadi tonggak iaitu kerohanian.

Akram berkata, kerajaan terpesong dari matlamat asal untuk membangunkan konsep wasatiyyah.
“Wasatiyyah bukannya bermaksud mengambil separuh yang baik lalu dicampur dengan separuh yang buruk.

“Kesilapan memahami konsep ini mencemarkan pandangan masyarakat terhadap Islam, apatah lagi menggunakan Islam untuk mencantikkan yang buruk,” katanya.

Himpunan Belia di Putrajaya hujung minggu lalu menyaksikan pelbagai acara hiburan disajikan kepada pengunjung.

Kemuncak himpunan dicemari kemalangan melibatkan acara perlumbaan kereta apabila seorang pelumba hilang kawalan ke atas kenderaan yang dipandunya.

Empat lelaki berusia antara 18 hingga 30 tahun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.
Seorang daripadanya patah tulang paha, dua lagi mengalami pendarahan dalaman manakala seorang lagi patah tangan dan kaki.-K/Daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...