Khususnya, perkara berkaitan larangan menggunakan logo sendiri membabitkan Pakatan Rakyat pada PRU ke-13, ia merupakan satu diskriminasi yang sengaja dilakukan.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertindak melarang atau menurunkan mana-mana bendera parti di kalangan Pakatan Rakyat, beliau yakin rakyat tahu menilai dan memilih parti pilihan mereka.
"Kita tiada masalah. Jika tiada logo PKR dan DAP di tempat calon PAS bertanding, kita yakin rakyat bijak memilih. Begitu juga di tempat-tempat DAP dan PKR bertanding," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, yang menyatakan Pakatan Rakyat tidak akan dibenarkan untuk menggunakan logo sendiri pada PRU ke-13 kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih belum meluluskan pendaftaran gabungan tersebut.
Tambah Salahuddin, isu yang lebih penting dibangkitkan SPR ialah isu membabitkan tuntutan Bersih, yang juga merupakan tuntutan bersama Pakatan Rakyat yang sehingga ini tidak diendahkan badan itu.
Mengulas status pendaftaran Pakatan Rakyat, Salahuddin melahirkan kekesalan kerana sehingga kini tidak mendapat sebarang jawapan daripada ROS.
"Sudah hampir dua tahun permohonan itu dibuat, sehingga kini tiada sebarang jawapan. Saya tidak tahu mengapa, tetapi ia tidak menjejaskan jentera kita bagi menghadapi pilihan raya," tegas Salahuddin lagi.-Hrkhdaily
No comments:
Post a Comment