Friday, May 11, 2012

Fatwa haramkan demo ikut buku Umno, ulangi taktik Hosni Mubarak

              Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menetapkan perhimpunan sebagai haram kepada umat Islam, dibuat berpandukan buku Perlembagaan Umno, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
             Memetik kenyataan ulama terkenal dunia, Sheikh Yusof al-Qaradawi, Ketua Umum KEADILAN itu , berkata amalan berhimpun sudah diamal Khalifah Umar al-Khattab ketika menyebar risalah Islam.

“Buktinya kupasan Yusof Qaradawi menyebut Saidina Umar Al Khattab – masa Islam mula berkembang, ada siri rahsia di rumah Arqam, tempat di mana orang berkumpul dan sampaikan risalah.


“Kemudian, Saidina Umar mahu tunjuk rasa dengan berjalan bersama beberapa kawan dan terang-terang membawa mesej Islam daripada rumah Arqam ke Masjidil Haram.

“Jadi, Jawatankuasa Majlis Fatwa baca buku mana? Adakah buku Perlembagaan Umno?” katanya depan kira-kira 5,000 orang pada ceramah Merdeka Rakyat di Padang Kampung Baru, Batu Caves tengah malam tadi.

Mengulas lanjut, Ketua Pembangkang itu kesal kerana Majlis Fatwa sanggup menjadi alat Umno sedangkan berhimpun menuntut keadilan tidak dilarang dalam Islam.

“Ini semua alat perkakas murahan, tiada pendirian. Kita kena ingat ikrar kita untuk bawa perubahan lebih 300,000 yang berhimpun itu belum selesai. Itu satu permulaan, kalau perlu kita buat lagi.

“Ada kata demonstrasi bukan budaya Islam, bukan budaya Arab. Ada kata demonstrasi import dari luar. Saya mahu jawab.

“Yang ditulis dalam buku Yusof Qaradawi dan disertakan ayat al-Quran bermaksud, harus kita sama dalam menegakkan kebaikan dan cari jalan satu tunjuk rasa bila kerajaan zalim,” katanya.

Anwar turut mempersoal kewibawaan Majlis Fatwa yang hanya menetapkan ‘haram’ kepada perhimpunan tetapi tidak sensitif isu semasa melibatkan umat Islam.

“Patut tanya dulu dari mana timbul kekacauan. Tapi, yang rasuah – tak haram, bunuh orang – tak haram, pukul orang – tak haram, rogol orang – tak haram,” sindirnya.
Beliau juga mengingatkan rakyat betapa perbuatan mengharamkan perhimpunan sudah dilakukan regim Hosni Mubarak ketika masih Presiden Mesir.

“Undang-undang ini di Mesir sudah dibuat. Hosni Mubarak bawa fatwa mengatakan tunjuk perasaan hendak gulingkan kerajaan itu haram. Hanya pemimpin Umno ala-Mubarak ini tidak faham-faham sampai sekarang,” katanya.-Keadilandaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...