Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan, berkata kesangsian itu berasaskan kepada sistem undi pos itu sendiri.
Katanya, selama ini sistem undi pos ini sering dipertikaikan berhubung tahap ketelusan dan keselamatannya oleh Pakatan Rakyat, yang sehingga kini SPR tidak bersedia menghapuskannya.
"Sistem undi pos ini membuka banyak ruang penyelewengan. Apabila media juga dibenarkan berbuat demikian, ia tidak mematikan kesangsian terhadap ketelusan undi tersebut," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasrat SPR untuk mempertimbangkan cadangan undi pos ke atas petugas media pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Mengulas lanjut, Sany berkata SPR perlu mencari pendekatan lain yang lebih efektif bagi memastikan petugas media dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi, dan dalam masa sama membuat liputan pada hari pengundian.
Sebagai contoh, katanya petugas media mungkin boleh melalui proses undi awal, yang membolehkan wakil-wakil setiap parti memantau sepanjang pengundian hingga tempoh pengiraan undi pada hari tersebut.
"Undi awal lebih baik berbanding undi pos ini. Setiap wakil parti boleh berada ketika proses undi awal itu, sehingga proses pengiraan undi pada hari yang sama dengan menandatangani Borang 14 (a). Itu lebih baik (dri undi pos)," tegas beliau.
Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Bagi Kewartawanan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah, berkata cadangan SPR itu hanya menunjukkan sikap SPR yang memberikan hak kepada petugas media untuk membuang undi.
Bagaimanapun, bagi beliau perkara yang lebih penting bagi SPR ialah memastikan akses media yang lebih adil bagi semua pihak sepanjang pilihan raya umum kelak.
"Ia cadangan yang baik sebagai memastikan hak untuk petugas media mendapatkan hak mereka sebagai pengundi. Tetapi, ia tidak memberi penekanan terhadap akses media yang lebih adil. Pokoknya, ia tiada perubahan kepada akses media yang lebih adil," tegas beliau kepada Harakahdaily.
No comments:
Post a Comment