Thursday, May 24, 2012

Halang pilihanraya bersih bagaikan demokrasi dinafikan - Viktor Wong


              Adakah pilihanraya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi ini akan merupakan proses pemilihan yang adil dan saksama?
              Ini adalah persoalan yang asyik diketengahkan oleh ramai pihak yang sememangnya telah mengetahui dan bimbang dengan gejala di mana pendatang asing akan diberikan kerakyatan bagi membolehkan mereka mengundi.

Kita telahpun mendengar dan menyaksikan beberapa siri bukti menggerikan yang menunjukkan adanya ribuan pengundi klon iaitu pengundi yang mempunyai lebih daripada dua tempat mengundi di dalam senarai daftar pemilih, para penduduk tetap (permanent residents – PR) yang dinaiktaraf dalam masa yang singkat dan diberikan hak mengundi, pengundi-pengundi hantu seperti mereka yang telah meninggal dunia dan yang tidak wujud sama sekali, tetapi nama-nama ini tetap wujud di dalam senarai daftar pemilih.


Disebabkan oleh kesemua bentuk permasalahan yang serius ini yang gagal ditangani oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sehingga pada hari ini, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 yang lalu walaupun kerajaan BN dan pasukan keselamatannya berusaha untuk menyekat pergerakan mereka.

Perhimpunan Bersih 2.0 ini terpaksa dianjurkan akibat daripada kedegilan SPR yang enggan menerima dan duduk semeja dengan pihak Bersih bagi membincangkan masalah tersebut yang disifatkan telah menjadi semakin berleluasa. Justeru daripada itu, Bersih terpaksa berpaling ke perhimpunan di jalanan bagi menyatakan pendirian teguh mereka untuk memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil.

Antara lapan tuntutan utama Bersh 2.0 pada masa itu adalah membersihkan senarai daftar pemilih, merombak semula undi pos, penggunaan dakwat kekal di dalam semua pilihanraya, membenarkan hari berkempen selama 21 hari, memastikan semua parti politik boleh menyalurkan maklumat kempen mereka secara bebas melalui media, memperkukuhkan institusi-institusi awam, menghentikan rasuah dan politik wang serta menghapuskan amalan politik yang jijik dan kotor.


Sejauh mana tuntutan pembaharuan ini akan diterima?

Ya, Bersih 2.0 telahpun mengemukakan lapan tuntutan mereka kepada kerajaan BN. Sejauh manakah tuntutan-tuntutan tersebut akan dipenuhi oleh kerajaan BN dan persoalan ini masih belum dijawab sehingga ke hari ini.

Sebagai makluman, beberapa tuntutan yang disenaraikan itu boleh dikatakan patut diterima dan dilaksanakan pada umumnya, sementara empat lagi tuntutan yang disasarkan terus pada SPR itu adalah di dalam bidang kuasanya dan boleh dilaksanakan dan tuntutan yang lain pula meliputi sektor-sektor yang lain seperti kerajaan, parti-parti politik dan pihak awam di mana proses ini sememangnya memerlukan lebih masa untuk dilaksanakan.

Selain itu, kita memerlukan sebuah kerajaan yang sensitif terhadap keperluan rakyat Malaysia bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap beberapa institusi-institusi seperti polis, pejabat peguam negara, jabatan kehakiman, perkhidmatan awam, media massa dan usaha membenteras rasuah. Parti memerintah iaitu BN perlu peka dengan kesemua isu-isu tersebut dan jika sekiranya pilihanraya umum diadakan, maka kerajaan yang ada (BN) akan hanya berperanan sebagai sebuah kerajaan mengurus (caretaker government) dan oleh itu, perlu membuka saluran-saluran medianya kepada semua parti-parti politik, termasuk pembangkang bagi digunakan untuk berkempen.

Dalam soal memperkukuhkan institusi awam, SPR sendiri perlu menyedari bahawa merekalah yang perlu bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan pengelola pilihanraya itu. Bersih 2.0 telahpun berkali-kali menyuarakan gesaan mereka agar SPR menjalankan tanggungjawabnya dengan adil, saksama serta bebas daripada pengaruh atau kongkongan sesetengah pihak seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang mendukacitakan adalah sehingga pada hari ini, SPR masih menunjukkan sifat-sifatnya yang hanya tunduk kepada kehendak parti memerintah iaitu BN dan Umno.

SPR mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap mana-mana pihak, di mana tatacaranya adalah berpandukan kepada makluman daripada pejabat peguam negara, SPR bukanlah sebuah agensi penguatkuasa, politik kotor dan rasuah adalah di bawah kawalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dan sewaktu pilihanraya umum, kuasa yang ada pada SPR hanyalah untuk memastikan poster-poster dan panji-panji parti politik mengikut garis panduan yang ditetapkan sementara siri-siri ceramah adalah terletak di bawah bidang kuasa polis. Pendek kata, SPR mendakwa tidak mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap apajua penyelewengan di dalam pilihanraya.


Akta Kesalahan Pilihanraya

Kata SPR, mereka tidak mempunyai kuasa yang menyeluruh bagi menyelia dan memastikan pilihanraya umum dijalankan mengikut undang-undang yang ditetapkan. Kenapa pula SPR mendakwa dirinya tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian?

Bagaimana pula dengan Akta Kesalahan Pilihanraya? Hakikatnya, kewujudan akta tersebut sememangnya memberikan SPR kuasa untuk bertindak terhadap sebarang kesalahan dan penyelewengan yang dilakukan sewaktu pilihanraya umum. Kuasa-kuasa tersebut termasuk menyelia dan memantau kegiatan-kegiatan calon pilihanraya bagi memastikan mereka yang bertanding ini mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Penguatkuasaan tersebut termasuk membenteras rasuah, ancaman dan pengaruh-pengaruh yang bertentangan dengan etika pilihanraya.

Adalah benar bahawa SPR sememangnya tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa, tetapi mereka adalah bertanggungjawab untuk melaporkan segala bentuk kesalahan yang dapat dikesannya sewaktu pilihanraya umum.

Kes yang paling jelas sekali berlaku pada pilihanraya kecil kawasan parlimen Sibu tahun lalu di mana perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak cuba memujuk pengundi di Rejang Park di Sibu dengan menyebut “saya tolong kamu, kamu tolong saya”, “kamu semua mahukan RM5 juta? Saya mahukan Robert Lau (calon BN pada masa itu) menang dan jika kamu mengundi Robert Lau pada Ahad ini, pada hari Isnin juga, saya akan meminta cek (RM5 juta) itu disediakan”. Apa yang berlaku adalah para pengundi memutus untuk tidak mengundi Robert Lau pada keesokan hari.

Satu lagi kes juga dilaporkan di Sarawak sewaktu pilihanraya negeri yang lalu, melibat calon BN bagi kerusi dewan undangan negeri Tamin yang telah memberikan tiga keping cek sejumlah RM10,000 kepada seorang ketua rumah panjang di kawasan tersebut. Apabila cek-cek tersebut dimasukkan ke bank, salah satu daripada cek tersebut ditolak atas alasan kekurangan dana di akaun si pemberi itu. Ketua rumah panjang itu lantas mengadu dan kemudiannya mendedahkan bahawa wang tersebut diberikan kepadanya dan para penghuni rumah panjang pimpinannya sebagai habuan untuk mengundi BN pada pilihanraya tersebut.

Rasuah dan pembelian undi adalah merupakan kesalahan pilihanraya dan yang mendukacitanya adalah SPR langsung tidak mengambil langkah-langkah proaktif dengan bertindak terhadap ahli-ahli politik yang melakukan perbuatan terkutuk itu, sekalipun telah terdapat undang-undang yang boleh menangani gejala tersebut. Menurut timbalan pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar baru-baru ini, yang menyebut “kita tidak pernah mendakwa sesiapa pun di mahkamah”.

Apakah peranan SPR sebenarnya dan di manakah halatujunya?

Dalam keadaan seperti yang dijelaskan, kita telah melihat dan dapat menggambarkan dengan jelas yang SPR ini hanya berperanan seolah-olah seperti sebuah syarikat pengurusan acara di mana majikannya ialah kerajaan BN sekarang. Ia sentiasa mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh majikannya itu.

Berdasarkan keadaan tersebut, bagaimana SPR boleh menjadi sebuah badan pengelola pilihanraya yang bebas dan adil? Mustahil, bukan?

Sepatutnya pada tahun 2008, sebelum pilihanraya umu ke-12 diadakan pada masa itu, SPR telahpun memutuskan untuk menggunakan dakwat kekal dan telah membeli bekalan dakwat tersebut dengan begitu banyak dari negara India sebagai persediaan. Akan tetapi, secara tiba-tiba, penggunaan dakwat kekal tersebut dibatalkan oleh Wan Ahmad atas alasan ianya diarah oleh pejabat peguam negara dan laporan polis telah dibuat bagi menyiasat kemungkinan terdapat elemen sabotaj dalam penggunaan dakwat tersebut.

Namum, sehingga ke hari ini, laporan polis itu terus menjadi misteri yang tidak ada penghujungnya dan pihak polis seolah-olah telah lupa akan kes tersebut. Pelik betul!

Penggunaan dakwat kekal itu adalah murah dan memadai, dan ianya telahpun digunakan dengan jayanya oleh beberapa buah negara termasuk India, sebuah negara demokrasi yang terbesar. Menurut Wan Ahmad lagi, para pengundi boleh juga dipaksa untuk disapukan dakwat kekal tersebut bagi menghalang mereka daripada mengundi. Ya, ianya memang boleh berlaku, tetapi sekiranya ia berlaku, mangsa-mangsa yang terlibat hendaklah membuat laporan polis. Ini bukan alasan yang kukuh untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal itu pada saat-saat akhir. Hanya alasan remeh yang cuba melengah-lengahkan usaha tersebut.

Dan sekarang SPR bercadang menggunakan sistem biometrik untuk mengenal pasti setiap pengundi bagi menghalang gejala pengundi hantu daripada berlaku. Langkah tersebut dilihat melibatkan kos yang begitu besar sekali. Bolehkah sistem ini berjaya sebenarnya?

Kita lihatlah pengalaman Jabatan Imigresen Malaysia yang juga telah menggunakan sistem tersebut dan apa yang berlaku. Sistem tersebut didapati tidak dapat mengenal pasti dengan jelas siapakah pendatang tanpa izin dan sebaliknya. Apakah yang akan berlaku jika sekiranya sistem tersebut gagal berfungsi dengan sempurna di hari pilihanraya umum itu diadakan? Sudah tentu ramai pengundi akan menjadi mangsa dan tidak dapat menunaikan hak mereka pada hari itu.

Selain daripada itu, sistem biometrik ini juga tidak dapat menjamin yang seseorang itu tidak akan mengundi lebih daripada sekali.

Perkara pokok yang perlu diberikan perhatian yang serius oleh SPR, seperti yang diketengahkan oleh pengerusi bersama Bersih 3.0 Datuk S.Ambiga adalah senarai daftar pemilih perlu dikemaskinikan dengan segera. Cadangan Datuk Ambiga adalah, agar sebuah jawatankuasa khas dibentuk dan diberikan tempoh selama tiga bulan untuk menyelesaikan masalah tersebut dan mengemukakan langkah-langkah perlu untuk memperbaiki keadaan tersebut. Kenapa SPR tidak menyahut cadangan itu? Kerana terlalu ego dan takut dengan kerajaan BN itu?

Masalah yang paling besar di sini adalah mereka-mereka yang menjadi persuruhjaya di dalam lembaga pengurusan SPR kebanyakan terdiri daripada kalangan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang telah bersara. Dan mereka ini telahpun biasa dengan adat mematuhi arahan dan menurut perintah daripada kerajaan. Yang lebih memburukkan lagi keadaan adalah pengerusi dan timbalan pengerusi SPR adalah ahli Umno selama ini.

Jadi, dengan keadaan ini, bolehkah rakyat mempercayai yang SPR ini adalah sebuah badan bebas, adil dan berintegriti? Dapatkah SPR ini membersihkan senarai daftar pemilih dengan segera sebelum pilihanraya umum yang akan datang?

Selain dari itu, isu-isu lain yang perlu diberikan perhatian serius adalah masalah ketelusan undi pos dan jumlah hari berkempen kerana SPR sehingga pada hari ini masih gagal memberikan sebarang jawapan yang memuaskan hati rakyat jelata.

Memang tidak dapat dinafikan, bahawa himpunan-himpunan serta usaha Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 telah membangkitkan kesedaran umum mengenai masalah tersebut. Rakyat telah juga melihat dengan mata mereka sendiri yang SPR masih berdegil dan enggan melaksanakan pembaharuan tersebut.

Jika sekiranya pembaharuan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, adalah dibimbangi lebih banyak penipuan dan penyelewengan mungkin akan berlaku dan pada suatu hari nanti Malaysia mungkin juga akan mendapat sebuah kerajaan tidak sepatutnya mendapat “mandat” untuk memerintah.

Wan Ahmad mempersoalkan kita semua, “apa lagi yang kamu nak?” Senang aje, berambuslah dari bumi ini dengan segera!-Malaysia chronicle

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...