Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, deklarasi oleh perdana menteri itu penting sebagai jaminan bahawa Umno BN sedia menghormati keputusan rakyat dan supaya sebarang proses peralihan kuasa jika berlaku, dapat dilakukan secara aman.
"Adakah beliau bersedia untuk membuat deklarasi yang jelas dan nyata bahawa dia, Umno dan Barisan Nasional akan menerima keputusan pengundi dalam Pilihanraya Umum Ke13, termasuklah peralihan kuasa pada peringkat persekutuan di Putrajaya?
"Adakah beliau bersedia untuk menarik balik deklarasi beliau “walau berkecai tulang dan badan, walau bercerai jasad dari nyawa, Putrajaya akan dipertahankan walau apapun terjadi” di Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2010?" soal Kit Siang.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum “Sistem Dua-Parti–Harapan Kami” di Kuching Sarawak, malam tadi.
Cabaran tersebut katanya turut dimuatkan dalam soalannya bagi sesi Dewan Rakyat yang dijadual bersidang 11 hingga 28 Jun ini.
"Tiada siapa yang boleh berkata samada sesi Parlimen bulan Jun benar-benar akan bersidang ataupun Parlimen akan dibubarkan sebelum 11 Jun untuk memberi laluan untuk Pilihanraya Umum Ke-13.
"Bagaimanapun, sekiranya Parlimen bersidang jua dalam bulan Jun, saya telah menyediakan satu soalan untuk Perdana Menteri," katanya merujuk cabaran deklarasi tersebut.
Deklarasi itu juga ujarnya bersesuaian dengan cadangan yang dikemukakan oleh 20 orang cendikiawan dari pelbagai latar belakang berhubung kebimbangan pada PRU-13 nanti.
Diantara cadangan yang dikemukakan mereka termasuklah menyeru parti-parti politik bersepakat membuat perjanjian bahawa 'keputusan pengundi adalah muktamad dan mesti dihormati dan memastikan peralihan kuasa dijalankan secara aman'.
Mereka juga perjanjian itu disebarkan kepada umum bagi tidak menggalakkan mana-mana individu ataupun kumpulan yang mempunyai niat untuk mencetus apa-apa pertelingkahan yang berhasrat untuk menterbalikkan keputusan pilihanraya.
"DAP menyokong sepenuhnya seruan untuk semua parti politik untuk memberi komitmen yang tegas untuk “menghormati keputusan suara dan kehendak rakyat” dan “memuliakan peralihan kuasa secara aman”.
"Persoalannya adalah samada Najib, Umno BN bersedia untuk memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi yang diperlukan," soal Kit Siang -Harakahdaily
No comments:
Post a Comment